Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

4 anak perempuan pengasas Al-Arqam, termasuk isteri CEO GISB, antara yang ditahan

Anggaran Waktu Membaca:
4 anak perempuan pengasas Al-Arqam, termasuk isteri CEO GISB, antara yang ditahan

4 anak perempuan pengasas Al-Arqam, termasuk isteri CEO GISB, antara yang ditahan pada 19 Sep 2024. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 20 Sep 2024 09:11AM Dikemas Kini : 20 Sep 2024 09:12AM
KUALA LUMPUR: Empat anak perempuan pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad adalah antara 19 individu berkaitan pengurusan tertinggi Global Ikhwan Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang ditahan Bukit Aman pada Khamis (19 Sep).

Ketua Polis Negara Malaysia, Razarudin Husain, berkata empat wanita tersebut berusia antara 29 hingga 38 tahun, lapor Berita Harian Malaysia.

"Mereka adalah antara 19 yang ditahan ketika kami melakukan empat serbuan di sebuah unit kediaman di sepanjang Jalan Imbi (Kuala Lumpur) jam 5.40 pagi tadi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan bahawa seorang daripada empat wanita tersebut adalah isteri kepada ketua pegawai eksekutif GISBH yang turut ditahan, menurut Berita Harian Malaysia.
Seorang daripada empat anak pengasas Al-Arqam yang juga isteri kepada CEO GISBH, antara 19 yang dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk mendapatkan perintah reman selama tujuh hari bermula 19 Sep 2024. (Gambar: Bernama)
Al-Arqam yang diasaskan oleh Ashaari, adalah sebuah kumpulan ajaran yang diharamkan oleh kerajaan pada tahun 1994.

Terdapat dakwaan bahawa kumpulan itu menarik lebih 60,000 orang pada kemuncak popularitinya, dengan sokongan daripada golongan Melayu berpendapatan rendah hingga sederhana serta pelajar kolej dan universiti dari seluruh negara.

Menurut Amnesty International pada 2 September 1994, Ashaari ditangkap di Thailand di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia. Beliau dikenakan tahanan rumah selama 10 tahun di Rawang dan Labuan.

Ashaari meninggal dunia pada tahun 2010 akibat jangkitan paru-paru.

Selepas Al-Arqam diharamkan pada 1994 dan beberapa pemimpin kanannya ditahan mengikut ISA, pengikut menubuhkan Rufaqa Corporation disusuli penubuhan GISBH pada 2008 sebagai organisasi perniagaan berasaskan agama dengan doktrinnya masih tarekat Aurad Muhammadiah yang diharamkan, lapor Berita Harian Malaysia.
Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan