4,000 haiwan peliharaan ditemui mati dalam kotak-kotak di depot logistik China
Sekitar 4,000 ekor anjing, kucing, arnab dan haiwan lain dipercayai dibeli online sebagai haiwan peliharaan ditemui mati dalam kotak-kotak di sebuah hab logistik di bahagian tengah China selepas ditinggalkan di sana selama hampir seminggu, menurut sebuah kumpulan kebajikan haiwan.
(Gambar: Agensi berita)
HONG KONG: Sekitar 4,000 ekor anjing, kucing, arnab dan haiwan lain dipercayai dibeli online sebagai haiwan peliharaan ditemui mati dalam kotak-kotak di sebuah hab logistik di bahagian tengah China selepas ditinggalkan di sana selama hampir seminggu, menurut sebuah kumpulan kebajikan haiwan.
Para penyelamat berjaya menyelamatkan lebih daripada 1,000 ekor arnab, tikus belanda, anjing dan kucing tetapi haiwan-haiwan yang lain sudah pun mati setibanya di kemudahan Dongxing di Luohe, wilayah Henan pada 22 Sep.
"Kami pernah menjalankan usaha menyelamat tetapi ini adalah kali pertama saya mengalami sesuatu yang begitu tragik," kata seorang sukarelawan dengan badan bukan pemerintah Utopia Animal Rescue, yang memberi namanya sebagai Dan.
"Apabila kami tiba di sana, terdapat beberapa timbunan kotak mengandungi haiwan peliharaan. Kebanyakannya sudah mati dan mula busuk serta mengeluarkan bau teruk," katanya, menggambarkan keadaan di depot itu.
Pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian itu, yang sekali lagi menimbulkan keprihatinan terhadap kurangnya pengawal seliaan bagi penjualan haiwan peliharaan secara online di China. Industri e-dagang yang berkembang bermakna hampir apa-apa sahaja, termasuk haiwan, boleh dibeli online - namun haiwan peliharaan kerap dipindahkan secara haram dalam keadaan tidak selamat oleh syarikat-syarikat penghantaran.
Penghantaran haiwan-haiwan itu dikatakan dilakukan pada 16 Sep, dan pada masa ia ditemui di depot itu, haiwan-haiwan tersebut sudah tidak diberi makanan atau minuman selama sekurang-kurangnya lima hari, menurut Utopia Animal Rescue.
Pegawai Yang Aihua dari biro perdagangan Luohe memberitahu The Beijing News pada Selasa (29 Sep) bahawa haiwan-haiwan itu dihantar dari wilayah jiran Jiangsu dan sebuah lagi bandar di Henan.
Apabila trak penghantaran tiba di Dongxing dan para pekerja mendapati muatan itu penuh dengan haiwan hidup, ia enggan menerimanya. Namun pemandu itu memunggah sahaja haiwan-haiwan itu di kemudahan tersebut, kata pegawai tersebut.
Perbuatan membawa haiwan-haiwan hidup melalui sistem penghantaran diharamkan di bawah undang-undang kiriman China. Ia boleh dihantar melalui penerbangan jika pengirim boleh menyediakan dokumen diperlukan seperti rekod vaksin dan sijil kesihatan dan sebuah peti pengangkutan haiwan yang diluluskan bagi perjalanan itu, menurut peraturan penerbangan awam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.