Skip to main content

Dunia

375 kucing ditemui di sebuah rumah sembelih

Beratus-ratus ekor kucing diselamatkan oleh sekumpulan pencinta haiwan yang tanpa disedari membongkar kegiatan haram di sebuah rumah sembelih.

Anggaran Waktu Membaca:
375 kucing ditemui di sebuah rumah sembelih

Kucing-kucing yang dikurung dalam sangkar untuk disembelih diselamatkan pihak berkuasa. (Gambar fail: STR/AFP)

Diterbitkan : 17 Dec 2018 02:04PM Dikemas Kini : 17 Dec 2018 02:14PM

TIANJIN: Beratus-ratus ekor kucing diselamatkan oleh sekumpulan pencinta haiwan yang tanpa disedari membongkar kegiatan haram di sebuah rumah sembelih.

Mereka yang berjaya menyelamatkan kucing-kucing itu semuanya merupakan anggota sebuah kumpulan kebajikan haiwan tempatan. Sewaktu kejadian, mereka sedang mencari seekor kucing peliharaan semasa melalui premis tersebut.

"Ada satu rumah usang. Kami ternampak bulu, kulit dan isi bangkai kucing di satu jalan yang kemudian membawa kami ke rumah sembelih itu," kata salah seorang daripada anggota kumpulan tersebut, Cik Shi, kepada agensi berita Thecover.cn.

Insiden berlaku di kawasan timur laut China baru-baru ini.

Penduduk tempatan mengetahui wujudnya sebuah rumah sembelih haram yang beroperasi di kawasan itu tetapi mereka tidak tahu-menahu tentang lokasi sebenarnya, menurut laporan.

Apabila kumpulan itu memasuki premis tersebut, mereka menemui 375 ekor kucing yang disumbatkan ke dalam 24 sangkar kecil, menurut Meiri Daily. Usaha menyelamatkan kucing itu memakan masa beberapa jam.

Namun, tiada laporan tempatan yang menjelaskan bagaimana kumpulan itu berjaya menyelamatkan kucing-kucing tersebut mahupun jika polis tempatan terlibat dalam operasi itu. Tidak diketahui sama ada siasatan sudah dijalankan.

Hampir kesemua kucing terselamat, kecuali empat yang mati. Mereka yang menyelamatkan kucing-kucing itu juga membantu untuk mencarikan pemilik baru bagi setiap kucing.

Sebahagian besar kucing yang diselamatkan sudah dikembiri dan dipotong kukunya, satu isyarat yang menunjukkan bahawa ia pernah menjadi haiwan-haiwan peliharaan.

Memakan daging kucing tidak dilarang di China. Daging kucing seringkali digunakan dalam hidangan sup yang pernah menjadi terkenal di wilayah Guangdong sebelum dilarang sejak 2007.

Pada April, dua lelaki diberkas kerana mencuri lapan ekor kucing untuk dijual kepada sebuah restoran bagi memasak sup itu.

Menurut South China Morning Post, sekitar 4 juta kucing dan 10 juta anjing disembelih setiap tahun untuk dijadikan hidangan makanan di China.  

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita