Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

37 kesalahan sepanjang kempen PRK Tanjung Piai

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) merekodkan sebanyak 37 kesalahan sepanjang berlangsungnya kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di sini sejak 2 Nov lepas sehingga semalam.

Anggaran Waktu Membaca:
37 kesalahan sepanjang kempen PRK Tanjung Piai

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 07 Nov 2019 07:01PM Dikemas Kini : 07 Nov 2019 07:05PM

PONTIAN: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) merekodkan sebanyak 37 kesalahan sepanjang berlangsungnya kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di sini sejak 2 Nov lepas sehingga semalam.

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan hari ini (7 Nov) menyatakan kesalahan direkodkan berdasarkan kepada lawatan dan pemantauan yang dilakukan oleh Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).

Ia meliputi 33 kesalahan pemasangan bahan kempen statik di premis awam seperti di surau, perhentian bas, sekolah, tanda arah, tiang elektrik dan balai raya, yang dibuat oleh tiga parti iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan.

Sementara tiga kesalahan lain pula adalah berkaitan bahan kempen yang berunsur provokasi dan tidak mempunyai maklumat pencetak serta satu kesalahan lagi membabitkan pemasangan papan iklan di kawasan larangan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam tempoh sama, SPR turut mencatatkan sembilan aduan polis dengan enam daripadanya berkaitan kes seorang pemimpin yang didakwa memberi ucapan berbaur perkauman di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Chio.

Tiga lagi aduan adalah masing-masing mengenai kejadian papan iklan milik calon Gerakan yang dijatuhkan pihak yang tidak dikenali; dakwaan bendera PH dicabut dan dipatahkan di kawasan Kebun Baru Kukup Laut dan dakwaan calon BN memberikan tender pelaksanaan Sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) secara rundingan langsung.

SPR memantau 42 ceramah atau program parti setakat semalam dan didapati tiada laporan berhubung perbuatan rasuah atau salah guna kuasa diterima oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Dr Md Farid Md Rafik, 42 tahun, daripada Bersatu di Hospital Pontian pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Pada PRK ini, calon PH Karmaine Sardini berdepan pertandingan enam penjuru, melawan calon BN daripada MCA Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Dr Badrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Hari pengundian PRK ditetapkan pada 16 Nov ini.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan