Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

354,000 terbunuh dalam perang Ukraine, mungkin berlarutan lepasi 2023, menurut dokumen AS

Anggaran Waktu Membaca:
WASHINGTON: Sebanyak 354,000 askar Rusia dan Ukraine terbunuh atau cedera dalam perang di Ukraine yang sedang menuju ke arah konflik berlarutan melebihi 2023.

Perkara itu didedahkan dalam beberapa dokumen perisikan Amerika Syarikat (AS) yang disiarkan online.

Dokumen itu kelihatan seperti penilaian rahsia AS tentang perang serta beberapa pengintipan negara itu terhadap sekutunya.

Jika sahih dokumen itu, ia menawarkan pandangan yang jarang berlaku mengenai sudut pandang Washington tentang salah satu konflik paling berdarah di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Agensi berita tidak dapat mengesahkan dokumen itu secara bebas dan beberapa negara termasuk Rusia dan Ukraine telah mempersoalkan kebenarannya, manakala pegawai AS berkata, beberapa fail kelihatan telah diubah.

Satu penilaian 23 Februari 2023, bertajuk "Pertempuran untuk Wilayah Donbas Kemungkinan Menuju Kebuntuan Sepanjang 2023", mengatakan Rusia tidak mungkin dapat mengambil bahagian timur Ukraine itu.

Dokumen itu mendedahkan, kempen Rusia di wilayah Donbas berkemungkinan menuju ke arah kebuntuan sekali gus menggagalkan matlamat Mosko untuk menawan seluruh wilayah itu pada 2023.

Jelasnya, taktik itu telah mengurangkan simpanan tentera dan senjata Rusia ke tahap yang boleh meletihkan unit Rusia dan menggagalkan matlamat perang Mosko serta mengakibatkan perang berlarutan melebihi 2023.

Sementara itu, Mosko berkata, ia tidak tahu sama ada dokumen itu benar dan ia mungkin cubaan untuk menimbulkan perbalahan.

Menurut penilaian yang disusun oleh Agensi Perisikan Pertahanan AS, Rusia telah mengalami 189,500 hingga 223,000 jumlah korban, termasuk 35,500 hingga 43,000 terbunuh dalam peperangan dan 154,000 hingga 180,000 cedera.

Manakala Ukraine telah mengalami 124,500 hingga 131,000 jumlah korban, termasuk 15,500 hingga 17,500 terbunuh dalam perang dan 109,000 hingga 113,500 cedera dalam perang.
Angka itu adalah kira-kira 10 kali lebih besar daripada mana-mana angka korban awam yang diterbitkan sama ada Mosko atau Kyiv.

Kedua-dua pihak tidak memberikan data tepat pada masanya mengenai kehilangan tentera.
Sumber : AGENCIES/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan