337 jersi tiruan pasukan bola sepak Pulau Pinang dirampas
Gambar: BERNAMA
NIBONG TEBAL: Sebanyak 337 helai jersi tiruan pasukan bola sepak Pulau Pinang bernilai RM15,050 (S$4766.17) dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Rabu (27 Apr).
Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata pasukan pegawai penguat kuasa kementerian itu bersama wakil pemilik cap dagangan menyerbu sebuah kedai peralatan dan pakaian sukan di Taman Perindustrian Nibong Tebal pada 11.30 pagi semalam dan merampas semua jersi tersebut.
"Kami membuat pemeriksaan dan serbuan itu selepas mendapat aduan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang dan pemeriksaan mendapati 337 helai jersi tersebut telah menggunakan cap dagangan palsu, sebelum merampas kesemuanya," katanya dalam kenyataan tersebut.
Katanya lagi, pihaknya turut menyerbu sebuah premis di Taman Industri Ringan Mak Mandin, Butterworth kerana menjalankan perniagaan kasut berjenama tiruan secara dalam talian.
Beliau berkata dalam pemeriksaan pukul 2 petang itu, pihaknya merampas 1,550 pasang kasut dan 400 pasang selipar pelbagai jenama terkenal tiruan bernilai RM42,750 (S$13,538.47).
Mohd Ridzuan berkata pihaknya mendapat aduan daripada wakil hak cipta dan membuat risikan serta intipan, sebelum menyerbu premis tersebut yang dijadikan stor menyimpan stok kasut dan selipar berkenaan.
Kedua-dua kes itu disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.