33 maut, 40 cedera dalam nahas bas di Pakistan
Sebuah bas membawa kebanyakannya pekerja buruh, yang sedang dalam perjalanan membawa mereka pulang ke kampung halaman untuk meraikan Aidiladha, merempuh sebuah trak kontena ketika memecut di lebuh raya yang sibuk di tengah Pakistan pada Isnin (19 Jul).
MULTAN, Pakistan: Sebuah bas membawa kebanyakannya pekerja buruh, yang sedang dalam perjalanan membawa mereka pulang ke kampung halaman untuk meraikan Aidiladha, merempuh sebuah trak kontena ketika memecut di lebuh raya yang sibuk di tengah Pakistan pada Isnin (19 Jul).
Nahas itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 33 orang maut dan 40 yang lain cedera, menurut para pegawai polis serta pegawai penyelamat.
Bas itu meninggalkan bandar Sialkot dan sedang dalam perjalanan di Taunsa Road. Ia sedang menuju ke bandar Dera Ghazi Khan di wilayah timur Punjab, menurut pegawai polis kanan Hassan Javed.
Beliau berkata punca sebenar kemalangan masih lagi disiasat.
Para penyelamat membawa korban nahas itu dan yang cedera ke sebuah hospital berhampiran.
Sher Khan, individu yang bertanggungjawab ke atas pasukan penyelamat di tapak itu, berkata beberapa orang dalam kalangan mangsa berada dalam keadaan kritikal. Beliau menambah pemandu bas itu adalah di antara 33 orang yang terbunuh dalam kemalangan tersebut.
Khan berkata para penumpang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di wilayah Rajanpur untuk menyambut Aidiladha.
Rakaman televisyen dan gambar-gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan para penyelamat bertungkus-lumus menarik keluar mayat-mayat dari bas yang hancur teruk itu.
Menteri Penerangan Pakistan Fawad Chaudhry mengucapkan takziah di Twitter dan menasihat para pemandu pengangkutan awam supaya lebih berhati-hati dengan nyawa orang ramai yang diamanahkan kepada mereka.
“Bilakah kita sebagai satu negara akan sedar bahawa melanggar peraturan trafik membawa maut," ujar beliau.
Kemalangan maut adalah perkara biasa di Pakistan disebabkan prasarana jalan raya yang teruk dan dan sikap tidak peduli terhadap undang-undang trafik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.