32 maut, 66 cedera selepas 2 kereta api bertembung di Mesir
Sekurang-kurangnya 32 orang maut manakala 66 yang lain cedera apabila dua buah kereta api penumpang bertembung di Mesir hari ini (26 Mac).
32 maut, 66 cedera selepas 2 kereta api bertembung di Mesir. (Gambar: Media sosial)
KAHERAH: Sekurang-kurangnya 32 orang maut manakala 66 yang lain cedera apabila dua buah kereta api penumpang bertembung di Mesir hari ini (26 Mac).
Menurut kementerian kesihatan negara itu puluhan ambulans dikejarkan ke daerah Tahta di wilayah Sohag, iaitu sekitar 460 kilometer dari Kaherah.
"32 orang terkorban dan 66 cedera" dan dikejarkan ke hospital, menurut kenyataan itu.
Rakaman video yang dilihat oleh AFP menunjukkan beberapa gerabak kereta api yang terbalik.
Gambar-gambar di media tempatan pula menunjukkan gerabak kereta api tergelincir di atas saluran air.
Namun tidak segera diketahui apakah punca dua kereta api itu bertembung.
"Kereta api bertembung ketika tidak dipandu laju, yang menyebabkan dua gerabak musnah manakala gerabak yang ketiga terbalik," kata sumber keselamatan kepada Reuters.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kemalangan maut kereta api kerap berlaku di Mesir, berpunca daripada tidak cukup prasarana serta penyenggaraan yang buruk
Salah satu kemalangan maut paling buruk berlaku pada 2002 apabila 373 orang mati setelah kebakaran tercetus dalam kereta api yang sesak di selatan Kaherah. Menyusuli insiden itu terdapat banyak lagi kemalangan maut berlaku.
Pada Mac tahun lalu, sekurang-kurangnya 13 orang cedera apabila dua kereta api penumpang berlanggar di Kaherah, menyebabkan semua khidmat kereta api di negara itu digantung sementara.
Pengurus kereta api menyalahkan isyarat yang tidak berfungsi akibat cuaca buruk sebagai punca kemalangan.
Pada Februari 2019, sebuah kereta api tergelincir daripada landasan dan terbakar di stesen kereta api utama Kaherah mengorbankan lebih 20 orang dan mendorong menteri pengangkutannya meletak jawatan.
Kemalangan hari ini berlaku ketika Mesir berdepan satu lagi cabaran pengangkutan yang besar, dengan sebuah kapal kotena besar tersekat di Terusan Suez, menyebabkan kesesakan teruk di kedua-dua laluan perkapalan strategik itu.
Kapal Ever Given itu, yang sepanjang empat padang bola, melanggar tebing di terusan itu sejak Selasa (23 Mac), dan berada dalam kedudukan miring serta menutup laluan trafik di kedua-dua hala terusan tersebut.
Bot tunda dan kapal pengorek sedang berusaha untuk melepaskan kapal itu kerana syarikat-syarikat perkapalan terpaksa mencari laluan lain dari jalur perkapalan penting di hujung selatan Afrika itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.