Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

31 pegawai polis M'sia akan dihukum; disyaki terlibat penipuan online

Seramai 31 warga Polis Diraja Malaysia yang dikenal pasti bersekongkol dengan sindiket Macau Scam dan kegiatan perjudian dalam talian bakal berdepan hukuman berat tidak lama lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
31 pegawai polis M'sia akan dihukum; disyaki terlibat penipuan online

(Gambar hiasan: AFP/Getty Images/Joe Raedle)

Diterbitkan : 01 Mar 2021 03:52PM Dikemas Kini : 01 Mar 2021 03:54PM

IPOH: Seramai 31 warga Polis Diraja Malaysia yang dikenal pasti bersekongkol dengan sindiket Macau Scam dan kegiatan perjudian dalam talian bakal berdepan hukuman berat tidak lama lagi.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata proses bagi menjatuhkan hukuman ke atas mereka sudah dibawa ke pihak Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk tindakan seterusnya.

Beliau berkata mereka sebelum ini disyaki terlibat dengan sindiket Macau Scam didalangi Zaidi Kanapiah atau lebih dikenali sebagai Addy Kanna dan Goh Leong Yeong atau Alvin Goh.

"Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) telah melengkapkan siasatan dan diserahkan kepada SPP yang dipengerusikan Yang Berhormat Menteri (Menteri Dalam Negeri Encik Hamzah Zainudin) sendiri.

"Ini kerana kesalahan itu kami anggap sesuatu yang amat serius atas kepentingan orang ramai. Jadi saya sebagai Ketua Polis Negara telah mengambil tindakan dengan membawanya ke peringkat atasan untuk diadili sebaik mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media Upacara Penutupan Kursus Asas Konstabel Orang Asli PDRM Siri 1/2020 di Lapang Sasar Utama, Briged Utara PGA, Hulu Kinta, kira-kira 30 minit dari Ipoh hari ini (1 Mac).

Encik Abdul Hamid berkata dibuang kerja, diturunkan pangkat dan dipotong gaji adalah antara hukuman yang boleh dikenakan SPP ke atas kesemua pegawai dan anggota berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan Goh dan Addy Kanna ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Oktober 2020 selepas didapati menjalankan aktiviti penipuan Macau Scam dan judi dalam talian yang menyasarkan mangsa di China selain bekerjasama dengan kartel penipuan di luar negara.

SPRM turut menahan serta menyoal siasat beberapa selebriti terkenal, pegawai dan anggota polis yang melindungi sindiket terbabit.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata pihaknya sudah menghantar permohonan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya melonggarkan syarat pengambilan Orang Asli ke dalam Pasukan Senoi Praaq termasuk dari segi kelayakan fizikal.

Beliau berkata pihaknya juga akan melakukan rundingan bersama JPA bagi mendapatkan kelonggaran permohonan Pasukan Senoi Praaq menggunakan kelulusan akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbanding hanya menggunakan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebelum ini.

"Kami menerima lebih banyak permohonan daripada mereka yang mempunyai kelulusan SPM walaupun skim perkhidmatan Senoi Praaq ini boleh dimohon dengan menggunakan PMR.

“Ketika ini kami kekurangan anggota dalam Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Bidor dan Batalion 18 PGA di Pengkalan Hulu dan ramai kalangan suku kaum Orang Asli menunjukkan minat cukup tinggi dalam PDRM namun terdapat kekangan syarat-syarat kelayakan dan kelulusan," katanya.

Awal dari itu, seramai 76 orang pelatih terdiri daripada pelbagai etnik Orang Asli Semenanjung Malaysia berjaya menamatkan Kursus Asas Konstabel Orang Asli PDRM selama enam bulan, hari ini. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan