Skip to main content

Dunia

30 pegawai imigresen Jakarta digugurkan atas dakwaan peras ugut pelawat China

Tindakan tersebut diambil berikutan aduan rasmi oleh kedutaan China di Indonesia.

Anggaran Waktu Membaca:
30 pegawai imigresen Jakarta digugurkan atas dakwaan peras ugut pelawat China

Pegawai imigresen digesa menjaga profesionalisme dan integriti dalam menjalankan tugas, berikutan dakwaan kes-kes peras ugut yang melibatkan para pelawat dari China di Jakarta. (Gambar: AFP/Bay Ismoyo)

Diterbitkan : 03 Feb 2025 07:20PM Dikemas Kini : 03 Feb 2025 07:22PM
JAKARTA: Seramai 30 pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta digugurkan daripada tugas, berikutan dakwaan peras ugut yang menyasarkan para pelawat China.

Menurut media tempatan, Menteri Imigrasi dan Pemasyarakatan Agus Adrianto mengesahkan tindakan yang diambil pada Ahad (2 Feb) itu.

Beliau berkata bahawa kementeriannya menerima aduan rasmi daripada kedutaan China di Indonesia, yang memperincikan sekurang-kurangnya 44 kes yang mendakwa para pelawat dikenakan surcaj secara haram di lapangan terbang tersebut.

"Tanpa maklumat daripada kedutaan China, kami tidak mungkin menyedari masalah ini. Menerusi aduan mereka, kami dapat mengambil tindakan dengan cepat bagi mempertingkatkan khidmat-khidmat imigresen," kata beliau, seperti ditukil The Jakarta Globe.

Encik Agus Adrianto juga menggesa para pegawai imigresen seluruh negara untuk menjaga profesionalisme dan integriti dalam menjalankan tugas.

Media tempatan turut melaporkan bahawa kedutaan China di Indonesia menghantar surat, bertarikh 21 Januari, kepada Direktorat Jenderal Protokol dan Urusan Konsular Kementerian Luar Negeri Indonesia, Direktorat Jenderal Imigrasi Kementerian Imigrasi dan Urusan Pemasyarakatan, serta Direktorat Jenderal Urusan Asia Pasifik dan Afrika.

Surat tersebut mendakwa bahawa beberapa warga China diperas ugut di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, di mana mereka diarah untuk membuat bayaran kepada pegawai imigresen sebelum dibenarkan masuk.

Menurut Tempo yang memetik dokumen yang diperolehinya, kes-kes peras ugut didakwa berlaku antara Februari 2024 dengan Januari 2025. Ia juga menyatakan bahawa sejumlah 32,750,000 rupiah (US$2,000) telah dipulangkan kepada lebih 60 warga China.

"Ini hanyalah sebahagian kecil daripada masalah yang lebih besar kerana lebih ramai warga China telah diperas ugut tanpa mengemukakan aduan disebabkan jadual yang padat atau rasa takut terhadap tindak balas yang mungkin dikenakan pada masa akan datang," menurut surat yang ditukil Tempo.

Sebelum ini, Encik Agus berkata bahawa para pegawai yang terlibat telah digantung tugas buat sementara waktu dan ini boleh dilihat sebagai peluang untuk melaksanakan pembaharuan bagi kementeriaan yang agak baharu itu.

"Ini adalah peluang untuk melaksanakan pembaharuan yang besar kerana imigresen berfungsi sebagai barisan hadapan Indonesia dalam berurusan dengan pelawat antarabangsa," katanya.

Kementerian Imigrasi dan Pemasyarakatan ditubuhkan selepas pelantikan Presiden Prabowo Subianto pada 20 Oktober. Sebelum ini, bahagian imigresen dan pemasyarakatan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kehakiman.
 
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita