Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

30 menteri, 37 timbalan menteri angkat sumpah jawatan; PM Ismail Sabri tidak hadir kerana jalani kuarantin kendiri

Seramai 30 menteri dan 37 timbalan menteri Malaysia hari ini (30 Ogos) mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di Kuala Lumpur.

Anggaran Waktu Membaca:
30 menteri, 37 timbalan menteri angkat sumpah jawatan; PM Ismail Sabri tidak hadir kerana jalani kuarantin kendiri

Seramai 30 menteri dan 37 timbalan menteri Malaysia mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di Kuala Lumpur pada 30 Ogos 2021. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 30 Aug 2021 05:54PM Dikemas Kini : 30 Aug 2021 06:01PM

KUALA LUMPUR: Seramai 30 menteri dan 37 timbalan menteri Malaysia hari ini (30 Ogos) mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di Kuala Lumpur.

Turut hadir di Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Mereka diumum menganggotai saf pentadbiran kerajaan baru pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob Jumaat lalu, yang terdiri daripada 31 menteri termasuk empat menteri kanan serta 38 timbalan menteri. 

Dua daripada mereka tidak dapat hadir untuk mengangkat sumpah jawatan hari ini.

Mereka adalah Noh Omar (Ahli Parlimen Tanjung Karang), yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, kerana difahamkan menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19 serta Mohamad Alamin (Kimanis), yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II, yang disahkan positif COVID-19.

Perdana Menteri, yang dijadual hadir, turut tidak dapat menghadirkan diri kerana menjalani kuarantin kendiri bermula hari ini setelah disahkan menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19.

Berlangsung di Balairung Seri mulai 2.30 petang, istiadat itu bermula dengan lagu kebangsaan ’Negaraku’ dimainkan.

Ia kemudian diteruskan dengan lafaz ikrar sumpah jawatan dan taat setia serta majlis menandatangani dokumen rasmi pelantikan yang disaksikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Istiadat berkenaan diadakan secara berkumpulan dengan barisan menteri dibahagikan kepada lima kumpulan manakala timbalan menteri enam kumpulan.

Kumpulan pertama menteri seramai tujuh orang terdiri daripada empat Menteri Kanan iaitu Mohamed Azmin Ali, yang dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Gombak), Hishammuddin Tun Hussein - Menteri Pertahanan (Sembrong), Fadillah Yusof - Menteri Kerja Raya (Petra Jaya) dan Senator, Dr Mohd Radzi Jidin - Menteri Pendidikan.

Tiga lagi dalam kumpulan itu ialah Menteri Kewangan Senator Zafrul Tengku Aziz, Menteri Pengangkutan, Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dan Menteri Sumber Manusia M. Saravanan (Tapah).

Kumpulan kedua: 

   1. Dr Maximus Johnity Ongkili - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Dan Sarawak) (Ahli Parlimen Kota Marudu)

   2. Dr Ronald Kiandee - Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Beluran)

   3. Tuan Ibrahim Tuan Man - Menteri Alam Sekitar dan Air (Kubang Kerian)

   4. Datuk Seri Hamzah Zainudin - Menteri Dalam Negeri (Larut)

   5. Alexander Nanta Linggi - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (Kapit)

   6. Takiyuddin Hassan - Menteri Tenaga dan Sumber Asli (Kota Bharu)

   7. Dr Noraini Ahmad - Menteri Pengajian Tinggi (Parit Sulong)

Kumpulan ketiga:

   1. Rina Mohd Harun - Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Titiwangsa)

   2. Annuar Musa - Menteri Komunikasi dan Multimedia (Ketereh)

   3. Reezal Merican Naina Merican - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Kepala Batas)

   4. Khairy Jamaluddin - Menteri Kesihatan (Rembau)

   5. Halimah Mohamed Sadique - Menteri Perpaduan Negara (Kota Tinggi)

   6. Dr Adham Baba - Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Tenggara)

   7. Mustapa Mohamed - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) (Jeli)

Kumpulan keempat:

1. Saifuddin Abdullah - Menteri Luar (Indera Mahkota)

2. Dr Zuraida Kamaruddin - Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (Ampang)

3. Dr Abdul Latiff Ahmad - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) (Mersing)

4. Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) (Santubong)

5. Nancy Shukri - Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Batang Sadong)


Kumpulan kelima

1. Mahdzir Khalid - Menteri Pembangunan Luar Bandar (Padang Terap)

2. Shahidan Kassim - Menteri Wilayah Persekutuan (Arau)

3. Faizal Azumu - Menteri Belia dan Sukan (Tambun)

4. Senator Idris Ahmad - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Istiadat kemudian menyaksikan giliran 37 timbalan menteri pula mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong sebelum diakhiri dengan sesi bergambar barisan menteri dan timbalan menteri bersama Seri Paduka berdua. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan