30 masjid bersejarah di Arab Saudi dibaik pulih
Projek Mohammed bin Salman bagi Pembangunan Masjid-Masjid Bersejarah sudah selesai fasa pertamanya untuk membaik pulih 30 masjid di 10 wilayah Arab Saudi dengan menelan belanja lebih SR50 juta (S$17.9 juta) yang mengambil masa 423 hari.
(Gambar: Twitter/@scthKSA)
RIYADH: Projek Mohammed bin Salman bagi Pembangunan Masjid-Masjid Bersejarah sudah selesai fasa pertamanya untuk membaik pulih 30 masjid di 10 wilayah Arab Saudi dengan menelan belanja lebih SR50 juta (S$17.9 juta) yang mengambil masa 423 hari.
Menurut laman Arab News, projek itu adalah sebahagian daripada arahan Putera Mahkota Arab Saudi untuk menaik taraf 130 masjid bersejarah di seluruh negara, melibatkan syarikat-syarikat Arab Saudi yang pakar dalam bidang bangunan warisan.
Para jurutera Saudi terlibat untuk memastikan identiti sejarah setiap masjid dipelihara menggunakan bahan-bahan baru yang bermutu tinggi.
Menurut laman Arab News lagi, masjid-masjid bersejarah itu sebelum ini ditutup selama lebih daripada 40 tahun.
Kemudahan seperti ruang ibadah wanita, khidmat untuk orang kurang upaya, alat hawa dingin, pencahayaan dan akustik disediakan.
Salah satu masjid, Masjid Jarir Al-Bajali di wilayah Taif, dibina pada zaman sahabat Nabi Muhammad, Jarir bin Abdullah Al-Bajali.
Sebahagian daripada masjid-masjid bersejarah itu juga terkenal sebagai ikon bidang ilmiah, seperti Masjid Sheikh Abu Bakr, yang dibina lebih 300 tahun yang lalu di wilayah Al-Ahsa.
Menurut Arab news lagi, 30 masjid yang selesai diubahsuai itu sudah mula menerima jemaah sejak 27 Dis tahun lalu, dengan tujuan memelihara warisan dan senibina Islam selain menghidupkan semula kampung-kampung warisan dan pusat bandar bersejarah.
Kerja-kerja pengubahsuaian didahului oleh fasa kajian, rakaman dimensi sejarah dan seni bina setiap masjid serta semakan terhadap semua cabaran.
Proses pengubahsuaian termasuk pemuliharaan bahagian-bahagian khusus yang terdapat dalam masjid-masjid lama, seperti khalwah, iaitu kawasan sembahyang bawah tanah atau ruang belakang masjid pada ketinggian tertentu yang melindungi para jemaah dari cuaca sejuk.
Ruang ligar, kawasan penyambut tetamu, tempat wudhu dan telaga tradisional juga dipelihara.
Sepanjang tempoh empat dekad yang lalu, Arab Saudi melalui pembangunan bandar yang pesat, termasuk trend membina masjid-masjid moden, mengabaikan masjid bersejarah dan kadang-kadang merobohkan masjid lama untuk digantikan dengan yang baru di tapak sama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.