Skip to main content

Dunia

3 wartawan maut dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan

Anggaran Waktu Membaca:
   3 wartawan maut dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan

Wartawan Lubnan terbunuh dalam serangan Israel di Jezzine, termasuk Fatima Ftouni dan Ali Shaib, ketika konflik Israel-Hezbollah memuncak. (Gambar: REUTERS/Ali Hankir)


BEIRUT: Serangan udara Israel di selatan Lubnan pada Sabtu (28 Mac) membunuh tiga wartawan yang ditugaskan untuk membuat liputan mengenai perang terkini antara Israel dan Hezbollah, menurut stesen televisyen masing-masing.

Hezbollah, melalui stesen TV al-Manar, memaklumkan bahawa wartawannya, Ali Shoeib, terbunuh pada Sabtu di selatan Lubnan.

Tentera Israel menyatakan pihaknya menyasarkan Ali Shoeib, menuduhnya sebagai anggota risikan Hezbollah, meskipun tidak mengemukakan bukti.

Sementara itu, Al-Mayadeen TV yang berpangkalan di Beirut, menyatakan bahawa wartawan Fatima Ftouni turut terbunuh dalam serangan udara yang sama di daerah selatan Jezzine bersama saudara lelakinya, Mohammed, seorang wartawan video.

Beliau sebelum itu baru sahaja membuat liputan secara langsung dari selatan Lubnan.

Sebilangan pegawai tertinggi Lubnan mengecam serangan tersebut, dengan Presiden Joseph Aoun menyifatkannya sebagai “jenayah terang-terangan yang melanggar semua undang-undang dan perjanjian yang melindungi wartawan.”

Al-Manar dalam laporannya menyatakan bahawa serangan udara Israel menyasarkan wartawan, menyebabkan “syahidnya ikon media penentangan.” 

Ali Shoeib, seorang wartawan perang terkenal Lubnan, sudah membuat liputan di selatan negara itu untuk Al-Manar selama hampir tiga dekad.

Tentera Israel mendakwa bahawa Ali Shoeib “beroperasi secara sistematik untuk mendedahkan lokasi askar (Israel) yang beroperasi di selatan Lubnan.” 

Tanpa memberikan butiran lanjut, tentera Israel juga menuduh beliau terus berhubungan dengan para anggota Hezbollah serta menghasut tentera dan orang awam Israel.

Al-Manar TV tidak memberi respons terhadap dakwaan tersebut, tetapi menggambarkan wartawannya sebagai “terkenal dengan laporan profesional dan berwibawa.”

Lubnan diheret ke dalam perang Timur Tengah apabila kumpulan bersenjata Hezbollah yang disokong Tehran melancarkan roket-roket ke arah Israel pada 2 Mac sebagai membalas pembunuhan oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Israel bertindak balas dengan serangan udara berskala besar di seluruh Lubnan serta operasi darat di bahagian selatan.

Sebelum ini, Israel pernah membuat dakwaan terhadap wartawan Palestin yang menjadi sasaran dalam perang menentang Hamas di Gaza, dengan menuduh mereka sebagai anggota Hamas yang menyamar sebagai wartawan.

Pada Oktober 2023, wartawan Reuters Issam Abdallah terbunuh dan enam lagi cedera, termasuk wartawan Amerika Dylan Collins dan wartawan Lubnan Christina Assi daripada AFP, ketika membuat liputan konflik Gaza dari Lubnan berhampiran sempadan Israel.

Siasatan bebas AFP mendapati bahawa dua peluru kereta kebal 120mm Israel dilepaskan dari kawasan Jordeikh di dalam kawasan Israel.

Dapatan itu turut disokong oleh siasatan antarabangsa lain, termasuk Reuters.

Sejak perang terbaharu Israel-Hezbollah bermula pada 2 Mac, tentera udara Israel sudah pun menyerang sasaran awam Hezbollah, termasuk ibu pejabat Al-Manar dan stesen radio Al-Nour milik kumpulan itu.

Serangan pada Sabtu itu berlaku beberapa hari selepas satu lagi serangan udara Israel ke atas sebuah apartmen di Beirut tengah membunuh Mohammed Sherri, ketua program politik Al-Manar, bersama isterinya.

Kematian terbaharu ini meningkatkan jumlah wartawan dan kakitangan media yang terbunuh di Lubnan tahun ini kepada lima orang.

Committee to Protect Journalists turut melaporkan bahawa jurugambar bebas Hussain Hamood, yang pernah bekerjasama dengan Al-Manar TV, juga maut pada Rabu di bandar selatan Nabatiyeh.

Sumber : AGENCIES/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita