Skip to main content

Dunia

3 warga SG maut dalam nahas di New Zealand

Anggaran Waktu Membaca:
3 warga SG maut dalam nahas di New Zealand

Persimpangan lebuhraya State Highway 79 dan Te Moana Road berdekatan bandar Geraldine di South Island, New Zealand. (Gambar: Google Street View)

SINGAPURA: Tiga warga Singapura terbunuh dalam kemalangan di South Island, New Zealand pada bulan lalu. 

Demikian menurut Polis New Zealand pada Selasa (9 Mei).

Tiga mangsa dikenal pasti sebagai Sherwin Chong Shi Yun, Xinyue Yang dan Jia Jun Vincent Lim. Chong dan Yang berusia 21 tahun, manakala Lim pula berusia 24 tahun. 

"Polis mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa. Kematian mereka sudahpun dirujuk kepada Koroner," menurut Polis New Zealand dalam satu kenyataan media di laman webnya. 

"Siasatan berhubung kemalangan itu sedang dijalankan." 

Kemalangan itu berlaku pada awal 17 April di persimpangan lebuhraya State Highway 79 dan Te Moana Road berdekatan bandar Geraldine, sekitar 140 kilometer di barat daya Christchurch. 

"Polis dimaklumkan sejurus selepas pukul 1.00 pagi bahawa sebuah campervan melanggar penghadang jalan lalu terbakar," menurut polis New Zealand beberapa jam selepas kemalangan tersebut. 

"Malangnya, ketiga-tiga individu dalam campervan itu meninggal dunia." 

Menurut New Zealand Herald, kumpulan itu menyewa campervan tersebut daripada sebuah syarikat berpangkalan di kawasan Canterbury. 

Akhbar itu melaporkan, 11 ahli bomba relawan dikerahkan ke tempat kemalangan tersebut, dengan ketua Pasukan Bomba Sukarelawan Geraldine menyifatkannya sebagai "salah satu tugas paling dahsyat" yang beliau pernah lakukan.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita