3 wanita Sabah ditahan di Jakarta berhubung kes dadah
Tiga wanita warga Malaysia dari Sabah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, pada Isnin (3 Ogos) dalam kes berkaitan dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Hussein Omar Khan berkata kedudukan geografi Malaysia antara faktor negara itu dijadikan laluan transit sindiket pengedaran dadah antarabangsa. (Gambar fail: Bernama)
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Hussein Omar Khan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dimaklumkan mengenai penahanan itu oleh Polis Republik Indonesia (POLRI).
Ketiga-tiga wanita itu berusia antara 30 hingga 39 tahun.
Menurut Encik Hussein, siasatan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan merupakan penagih dadah.
Bagaimanapun, jumlah dadah yang dirampas pihak berkuasa Indonesia adalah kecil dan dipercayai untuk kegunaan sendiri.
"Kes penahanan tiga wanita ini juga didapati tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes penahanan seorang juruterbang mahupun seorang lelaki berusia 22 tahun di Indonesia sebelum ini," katanya kepada Bernama.
Media sebelum ini melaporkan para petugas di Terminal 2F Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta menggagalkan percubaan tiga wanita membawa masuk dadah yang disembunyikan dalam bagasi dan kasut mereka.
Mereka tiba menerusi penerbangan dari Kota Kinabalu.
MALAYSIA JADI LALUAN TRANSIT
Mengulas rentetan kes dadah melibatkan rakyat Malaysia di luar negara, Encik Hussein berkata kedudukan geografi negara itu menjadi antara faktor Malaysia dijadikan laluan transit sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
Menurut beliau, kebanyakan sindiket tersebut beroperasi dari negara-negara di utara Malaysia.
Malaysia kemudian digunakan sebagai laluan transit sebelum dadah dibawa ke Indonesia, Singapura, Filipina dan beberapa negara lain.
PDRM akan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada di pintu masuk dan keluar negara bagi memastikan Malaysia tidak terus dilabel sebagai negara transit dadah, tambahnya.
Dalam pada itu, JSJN merampas 89 tan pelbagai jenis dadah di seluruh Malaysia sepanjang tahun lalu.
Hampir 46 tan dadah pula dirampas dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.