3 UTAMA: DUNIA 2023
![3 UTAMA: DUNIA 2023 3 UTAMA: DUNIA 2023](https://dam.mediacorp.sg/image/upload/s--kG_dNicQ--/c_crop,h_418,w_744,x_169,y_463/c_fill,g_auto,h_468,w_830/f_auto,q_auto/v1/mediacorp/berita/images/2023/12/15/untitled_design_3.png?itok=FUWmGPRL)
SINGAPURA: 2023 menyaksikan ketegangan geopolitik yang kian meningkat, menggugat keselamatan dan keamanan sejagat.
Belum pun perang di Ukraine menemui titik penyelesaian, timbul pula konflik Israel-Hamas di Gaza yang mencengkam dunia.
Kesan perubahan iklim serta kemajuan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) juga semakin mendapat sorotan sepanjang tahun ini.
Bagaimana semua ini boleh menjejas masa depan dunia?
KESAN PERANG ISRAEL-HAMAS TERHADAP LANDSKAP GEOPOLITIK DUNIA
7 Oktober 2023 merupakan satu titik hitam dalam sejarah Israel.
Kumpulan Hamas melancarkan serangan mengejut, tanpa sebarang amaran. Akibatnya, lebih 1,000 warga Israel terbunuh dan beratus-ratus tebusan diculik dan ditahan di Carikan Gaza.
Sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengisytiharkan perang habis-habisan ke atas Hamas dan mengerahkan tentera IDF untuk mengepung Gaza.
Serangan darat dan udara Israel yang dilancarkan secara bertubi-tubi mencetuskan tragedi paling berdarah dalam sejarah konfliknya dengan Palestin selama 75 tahun.
Yang menjadi persoalan, bagaimana kumpulan Hamas berupaya melancarkan serangan yang begitu dahsyat sehingga disifatkan sebagai kegagalan terburuk bagi perisikan Israel?
"Ini adalah satu permainan strategik dari Hamas untuk menyakiti Israel dan sekutu-sekutunya, dan akhirnya, untuk mencapai beberapa objektif iaitu politik serta strategi di Timur Tengah, di Israel dan Palestin. Israel dimalukan dari tiga segi - kegagalan pencegahan, kegagalan perisikan, kegagalan politik - dan ini adalah kegagalan yang luar biasa bagi Israel. Bagi saya, yang paling parah sejak 1948. Paling parah. Lebih teruk daripada Perang Yom Kippur pada 1973. Ini memang dirancang," kata Dr Bilveer Singh, pengamat politik dari Jabatan Sains Politik, Universiti Nasional Singapura (NUS).
Dalam usaha Israel untuk menghancurkan Hamas, Gaza dihukum secara kolektif, dengan 2.2 juta rakyatnya dikepung. Bekalan air, makanan, elektrik dan minyak disekat. Bahkan, hospital-hospital turut dijadikan sasaran - kerana dituduh menempatkan kubu Hamas.
Pertumpahan darah berterusan di Gaza mendesak Setiausaha Agung PBB Antonio Gutteres untuk mengambil satu langkah luar biasa.
Buat pertama kali dalam pentadbirannya, beliau merujuk situasi di Gaza kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC), dengan menggunakan Artikel 99 Piagam PBB. Menggunakan artikel tersebut bererti, keadaan ketika ini mengancam perdamaian dan keamanan antarabangsa.
Dengan perang Israel-Hamas masih belum menunjukkan tanda-tanda kesudahannya dan dunia juga masih lagi bergelut dengan perang Rusia-Ukraine, Dr Bilveer menjangkakan keadaan global yang serba tidak menentu akan berterusan.
Tambah beliau, "Yang penting, bagaimana dari keadaan yang tidak stabil ini, kita mencari peluang dan di sini, perang kuasa besar adalah luar biasa. Tidak pernah dalam sejarah moden... di mana ada peperangan, Amerika menghantar pesawat dan China berdiam sahaja tetapi kali ini, China tidak berdiam diri. China mengerahkan enam kapal perang ke Mediterranean. Ini menonjolkan paradigma dunia politik sudah berubah.
"China akan menjadi lebih penting di Timur Tengah dan di rantau kita. Siapa dilihat sebagai yang ingin cetuskan keamanan? China. Di mana negara Islam bertemu kelmarin? Di Beijing, untuk mencari jalan keluar.
Sebaliknya bagi Amerika Syarikat, citra dan kewibawaannya tergugat, semakin lama perang di Ukraine dan Gaza berlarutan. Malah ia dijangka bakal mempunyai pengaruh besar ke atas hala tuju politik Amerika Syarikat pada 2024 nanti.
"Bagi saya, isu ini pasti akan menjadi isu politik dalaman untuk Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat. Ini akan pasti merugikan Parti Democrat dengan luar biasa. Donald Trump dan teman-temannya sudah mula sentuh tentang Ukraine, sekarang di Israel dan Timur Tengah. Ini menimbulkan bermacam-macam isu untuk Joe Biden yang begitu lemah dan ini boleh memenangkan Trump dan Parti Republican," kata Dr Bilveer.
CUACA EKSTREM TERUS BERLARUTAN PADA 2024
Selain konflik geopolitik, kesan perubahan iklim juga merupakan ancaman serius terhadap masa depan umat manusia.
2023 memecah rekod suhu di merata dunia. Walaupun tinggal dua minggu lagi sebelum ia berakhir, Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) mengesahkan bahawa 2023 akan menjadi tahun paling panas dalam sejarah.
"Pemanasan global adalah fenomena yang sudah berlaku sejak berjuta-juta tahun. Hanya masalahnya sekarang adalah proses itu dipercepatkan kerana kita terlalu banyak melepaskan gas karbon ke udara. Laporan PBB yang dikeluarkan pada November lalu meramalkan suhu akan meningkat sehingga 3 darjah Celsius. Ini memang situasi yang teruk kerana sebelum ini saintis sudah mengatakan, jika kita melebihi 1.5 darjah Celsius, kita akan memasuki keadaan yang luar biasa," kata Dr Serina Rahman, pensyarah Pengajian Asia Tenggara di NUS.
Kesannya juga, kata Dr Serina, semakin meningkat dan dapat dilihat menerusi "fenomena cuaca ekstrem" yang berlaku sepanjang 2023.
Antaranya gelombang haba, kemarau dan kebakaran hutan yang lebih teruk dan berlarutan di Asia, Afrika, Eropah dan Amerika Utara. Ribut Daniel yang membadai Libya sehingga menyebabkan banjir dahsyat pula meragut nyawa lebih 11,000 orang. Itu hanyalah beberapa contoh cuaca ekstrem yang melanda dunia tahun ini.
Ada kemungkinan cuaca ekstrem, menurut Dr Serina, akan bertambah dahsyat pada 2024 disebabkan oleh fenomena El Nino yang dijangka berlarutan sehingga April tahun depan.
"Mungkin bulan dua, tiga, empat tahun depan, cuaca akan menjadi panas terik. Jika hujan pun, ia akan memang selebat-lebatnya yang tidak pernah kita alami. Oleh itu, kita harus bersedia menghadapinya," tambah beliau.
Di sidang puncak COP28 baru-baru ini, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan beberapa badan amal menawarkan pembiayaan dana sebanyak AS$777 juta bagi membasmi penyakit tropika yang dijangka bertambah teruk pada masa hadapan.
HARUSKAH KITA BIMBANG TENTANG PERKEMBANGAN AI?
Menjelang 2023, OpenAI memperkenalkan ChatGPT kepada dunia.
Dalam masa lima hari, wadah Kecerdasan Buatan itu berjaya meraih lebih satu juta pengguna. Dua bulan kemudian, pada awal 2023 - ChatGPT memikat 13 juta pengguna baharu setiap hari. Kini, ia digunakan oleh lebih satu bilion orang di merata dunia.
"Kalau dahulu kita menggunakan Google untuk mendapatkan maklumat, sekarang kita boleh menggunakan ChatGPT untuk mendapatkan maklumat yang sudah digabungkan atau yang akan dipamerkan dengan cara lebih interaktif dan cara lebih senang difahami, kongsi Dr Elmie Nekmat, Profesor Madya Jabatan Perhubungan dan Media Baharu di NUS.
Kelebihannya amat mengagumkan, memicu perdebatan yang sengit tentang pengaruh AI generatif dalam kehidupan seharian kita - sehinggakan 2023 digelar "tahun kejayaan bagi Kecerdasan Buatan".
Dr Elmie berpendapat bahawa perkembangan AI seperti ChatGPT berlaku pada rentak yang pantas. Maka itu, muncul juga beberapa kelemahan pada teknologi tersebut.
"Pertama, kekurangan dalam ketepatan maklumat atau kandungan yang dikeluarkan. Kedua, ada juga kebimbangan terhadap bagaimana teknologi seperti ChatGPT menggunakan maklumat peribadi seseorang," jelas beliau.
Keupayaannya untuk menjana teks juga mencetuskan keprihatinan tentang penyebaran maklumat salah. Maka itu, di tengah-tengah "demam ChatGPT", pemerintah-pemerintah dunia bertindak untuk mengawal selia penggunaan AI. Ini termasuk Sidang Puncak Keselamatan AI yang diadakan buat julung-julung kalinya.
Melangkah ke 2024, Dr Elmie menjangkakan penggunaan AI generatif seperti ChatGPT akan semakin berleluasa di dunia. Teknologi itu juga dijangka akan menjadi lebih canggih dan pintar.
Namun Dr Elmie berkata, orang ramai tidak seharusnya bimbang bahawa AI akan menggantikan peranan manusia dalam pekerjaan.
"Ada pelbagai nilai atau kekuatan manusia yang tidak boleh diambil alih oleh teknologi tersebut. Jika kita boleh mempelajari cara menggunakan AI dengan lebih baik, para pekerja boleh meningkatkan lagi prestasi kerja mereka dan mungkin dapat juga menggunakan AI untuk meringankan beban kerja mereka," katanya lagi.
Yang penting, tambah Dr Elmie, adalah untuk terus meningkatkan kemahiran berkaitan penggunaan AI dan pada masa yang sama, kekal berwaspada apabila menggunakan semua aplikasi atau platform digital.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.