3 termasuk kanak-kanak maut selepas bot terbalik di Pulau Perhentian, Terengganu
Tiga termasuk dua kanak-kanak perempuan berusia 10 dan tiga tahun maut dalam kejadian bot terbalik di Pulau Perhentian, Terengganu, pada Sabtu malam (28 Jun).
Tiga termasuk dua kanak-kanak perempuan maut dalam kejadian bot terbalik di Pulau Perhentian, Terengganu. (Gambar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia)
Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad @ Abu berkata dalam kejadian pada pukul 10.30 malam itu, S. Arumugam, 40 tahun, dan anaknya A. Sarrvihka, 3 tahun, dan saudara mereka V. Vennpani, 10 tahun, maut manakala 12 lagi termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun kritikal dan dikejarkan ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut.
“Kejadian berlaku ketika ribut, hujan lebat dan laut bergelora menyebabkan bot yang membawa 15 penumpang berusia tiga hingga 40 tahun itu terbalik dan karam,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut pada Ahad.
Encik Azamuddin berkata hasil siasatan mendapati kesemua penumpang bot tidak memakai jaket keselamatan.
Pemandu bot berusia 20-an tahun yang juga penduduk tempatan sudah direman bagi membantu siasatan.
Menurut Encik Azamuddin, pemandu bot itu juga didapati positif dadah dan mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Justeru, pihak polis ingin menasihati orang ramai supaya mengutamakan keselamatan ahli keluarga semasa di pantai peranginan.
“Pihak polis juga menasihati pengusaha bot supaya mengutamakan keselamatan pelancong dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan terutama pemakaian jaket keselamatan,” tambah Encik Azamuddin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.