Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

3 syarikat di China didedahkan jual beras wangi Thailand palsu

Anggaran Waktu Membaca:

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand mengambil tindakan untuk memfailkan tuduhan terhadap tiga kilang di wilayah Anhui, China, kerana menjual beras wangi Thailand yang palsu. 

Tuduhan itu dibentangkan dan diumumkan secara terbuka untuk memastikan para pelanggan di China sedia maklum mengenai mutu asli beras wangi dari Thailand, kata Setiausaha Tetap Kementerian Agrikultur dan Koperasi Thailand, Prayoon Insakoon, lapor Bangkok Post. 

Kementerian tersebut sedang bekerjasama dengan Pejabat Konsular Pertanian Thailand di China untuk memfailkan tuduhan tersebut, kata Encik Prayoon pada Jumaat (17 Mac). 

Encik Prayoon sebelum itu menerima aduan mengenai jenama beras Thailand palsu daripada Artinan Intharapim, konsul pertanian di Konsulat Jeneral Diraja Thai di Shanghai. 

Siasatan oleh konsul itu mendapati bahawa syarikat-syarikat - Anhui Huainan Shouxian Yongliang Rice Industry, Anhui Xiangwang Cereals, Oils and Food Technology serta Huainan Chufeng Industry and Trade - menjual beras tempatan yang diproses dengan menggunakan haruman serta perisa palsu dan kemudian menjualnya sebagai beras wangi Thailand. 

Siasatan mendapati beras yang digunakan oleh syarikat-syarikat itu dalam produk mereka adalah beras Dao Hua Xiang, sejenis beras tempatan di Anhui yang pertama kali ditanam pada 2010.

Kilang-kilang terbabit memproseskan beras itu menggunakan kimia seperti pirazina dan pirola untuk mengharumkan produknya. Kedua-dua pirazina dan pirola adalah bahan perisa yang diharamkan di China, menurut Bangkok Post. 

Siasatan itu turut mendapati bahawa ketiga-tiga syarikat tersebut membeli haruman palsu daripada Shanghai Rofeeflavor Fragrant dan Shanghai Fengmi Industrial. 

Kedua-dua syarikat yang berpangkalan di Shanghai itu didapati menghasilkan perisa makanan palsu yang tidak diluluskan. 

Anhui Xiangwang Cereals, Oils and Food Technology, yang membubuh tanda perniagaan pada produknya sebagai beras wangi Thailand, juga didakwa kerana memiliki pendaftaran perniagaan yang sudah tamat tempoh enam tahun lalu. 

Menurut Encik Prayoon, banyak kedai online yang menjual perisa makanan palsu ditutup setelah berita mengenai beras palsu itu diterbitkan. 

Tiga kilang terbabit dikenakan tuduhan memproses makanan bagi tujuan menghasilkan produk palsu. 

Kilang-kilang berkenaan ditutup sedang pihak berkuasa merampas perkakas pengilangan bagi siasatan. 

Produk dan perkakas yang disita akan dimusnahkan setelah siasatan selesai dijalankan, tambahnya, seperti dipetik Bangkok Post.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan