3 sekolah diarah tutup ekoran kebocoran gas kilang pemprosesan ayam
Tiga buah sekolah diarah tutup hari ini (4 Sep) ekoran insiden kebocoran gas ammonia dari sebuah kilang pemprosesan ayam di Merlimau, Jasin, Melaka, yang terletak berhampiran sekolah-sekolah tersebut.

(Gambar: BERNAMA)
JASIN: Tiga buah sekolah diarah tutup hari ini (4 Sep) ekoran insiden kebocoran gas ammonia dari sebuah kilang pemprosesan ayam di Merlimau, Jasin, Melaka, yang terletak berhampiran sekolah-sekolah tersebut.
Pengarah Pendidikan Melaka Abu Bakar Sahari berkata tiga sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Redan, SK Serkam Darat dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Serkam.
“Seramai 20 calon UPSR dari SK Paya Redan ditumpangkan ke Pusat Peperiksaan di SK Paya Dalam. Kita juga membuka satu pusat peperiksaan baru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Mahkota bagi menempatkan 79 calon dari SK Serkam Darat dan enam calon SJKT Ladang Serkam,” kata Encik Abu Bakar.
Beliau menambah perubahan lokasi pusat peperiksaan itu setakat ini kekal sehingga tarikh akhir peperiksaan UPSR iaitu pada 12 September.
Encik Abu Bakar berkata semua pelajar tahun satu hingga lima di ketiga-tiga buah sekolah itu juga diarah bercuti bagi mengelak terjejas dengan sebarang pencemaran.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, semua pelajar sekolah berkenaan tidak perlu hadir ke sekolah seperti biasa sehingga dimaklumkan.
“Ini kerana tiga buah sekolah ini terletak dalam radius tiga kilometer dari lokasi kilang pemprosesan ayam berkenaan,” ujarnya.
Beliau berkata pihaknya akan membuat makluman sekiranya terdapat perubahan dari semasa ke semasa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.