3 sekeluarga maut dirempuh lori imigresen Malaysia semasa bercuti di KL
Tiga sekeluarga maut selepas dirempuh lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Sultan Ismail pada dini hari 19 Ogos 2026. (Gambar: BERNAMA)
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata siasatan awal mendapati kesemua mangsa menetap di Kampar, Perak.
“Bagaimanapun tidak dipastikan sejak bila mereka berada di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Beliau berkata isteri kepada mangsa lelaki yang maut dalam kejadian itu kini berada di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan keadaannya tenat.
Encik Mohd Zamzuri berkata pihaknya kini dalam proses mendapatkan perintah reman terhadap pemandu lori JIM dan kereta Proton Saga yang terlibat dalam kemalangan itu.
Difahamkan, seorang lagi anak pasangan itu tidak turut serta dalam percutian ibu bapanya di Kuala Lumpur.
Dalam kejadian kira-kira 1.00 pagi Rabu, lori Isuzu ‘Black Maria’ JIM tanpa muatan dipercayai dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi operasi pendatang tanpa izin sebelum memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah, dengan lampu suar (beacon) dan siren diaktifkan.
Pada masa yang sama, sebuah kereta Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau dipercayai tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan lori berkenaan, menyebabkan lori itu hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah kereta Inokom Matrix.
Tiga pejalan kaki iaitu lelaki berusia 53 tahun dan dua anak perempuannya masing-masing berumur 25 dan 12 tahun maut di tempat kejadian, manakala isteri mangsa berusia 55 tahun cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Setakat 12.00 tengah hari, proses bedah siasat terhadap tiga mangsa yang maut masih dijalankan.
Difahamkan, keluarga terdekat mangsa sudah tiba di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), HKL tengah hari Rabu.
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berhubung kemalangan maut membabitkan lori jabatan itu di Jalan Sultan Ismail, di sini awal pagi tadi.
Menerusi catatan di Facebook, PM Anwar berkata tindakan sewajarnya perlu diambil sekiranya siasatan mendapati wujud unsur kecuaian atau pelanggaran undang-undang.
“Saya telah mengarahkan Jabatan Imigresen supaya menjalankan siasatan dengan segera dan menyeluruh. Jika terdapat kecuaian atau pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya mesti diambil tanpa kompromi,” kata beliau.
Encik Anwar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden tragis berkenaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.