Skip to main content

Dunia

3 remaja diberkas berhubung kes bunuh pelajar 16 tahun di Johor; PM Anwar arah siasatan segera

Tiga remaja lelaki berusia 16 tahun diberkas berhubung pembunuhan rakan sekolah mereka di Yong Peng, Johor, pada Sabtu (3 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
3 remaja diberkas berhubung kes bunuh pelajar 16 tahun di Johor; PM Anwar arah siasatan segera

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal. (Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)

Diterbitkan : 04 Oct 2026 04:39PM
3 teenagers arrested over the murder of a 16-year-old student in Johor; PM Anwar orders immediate investigation
  • Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, died after she was found covered in blood in the school Chamber in Yong Peng, Johor, on Saturday.
  • Police arrested three 16-year-old male teenagers several hours later, with one remanded for six days while the status of the other two is not yet known.
  • Johor police chief Ab Rahaman Arsad said the case is being investigated as murder, a post-mortem was conducted, and the motive has yet to be identified.
  • Anwar Ibrahim ordered an immediate and transparent investigation, while Fadhlina Sidek called for checks on school management, attendance, security controls and patrols.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Tiga remaja lelaki berusia 16 tahun diberkas berhubung pembunuhan rakan sekolah mereka di Yong Peng, Johor, pada Sabtu (3 Okt).

Mangsa, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16 tahun, meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dewan sekolah pada Sabtu (3 Okt).

Seorang daripada tiga suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di Johor pada pagi Ahad (4 Okt) dan direman selama enam hari hingga 9 Oktober.

Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata suspek itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Status dua lagi suspek belum diketahui.

Ketiga-tiga suspek diberkas beberapa jam selepas mangsa ditemukan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Bedah siasat terhadap mangsa turut dijalankan di Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat pada Ahad (4 Okt).

Menurut Encik Ab Rahaman, mangsa mengalami beberapa kecederaan di kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Motif dan keadaan yang membawa kepada kejadian itu masih dalam siasatan.

ANWAR ARAH SIASATAN SEGERA, MENYELURUH

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan segera, menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti punca kejadian.

"Sekiranya terdapat unsur jenayah, tindakan tegas mesti diambil mengikut undang-undang," kata Encik Anwar menerusi catatan Facebook pada Ahad (4 Okt).

"Keselamatan anak-anak kita adalah tanggungjawab bersama. Kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan keselamatan dan kebajikan mereka sentiasa terpelihara."

Encik Anwar turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan saudara-mara mangsa.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Malaysia Fadhlina Sidek mengarahkan pemeriksaan menyeluruh terhadap aspek pengurusan dan keselamatan sekolah berkenaan.

Pemeriksaan itu termasuk rekod kehadiran murid semasa kelas tambahan, kawalan keselamatan serta rondaan di sekitar sekolah.

MANGSA DITEMUKAN NENEK

Menurut laporan New Straits Times, Irene ditemukan neneknya yang pergi ke sekolah selepas bimbang cucunya masih belum pulang ke rumah menjelang 5.30 petang.

Ibu saudara mangsa, Siti Nur Faeza Khyar, berkata Irene sebelum itu menghadiri kelas tambahan yang berakhir pada 5.00 petang.

Menurutnya, Irene bercita-cita mahu mengikut jejak langkah arwah ibunya dengan menjadi seorang doktor.

Beliau menyifatkan anak saudaranya sebagai seorang pelajar yang rajin, pendiam dan baik serta sering menduduki tempat pertama atau kedua dalam peperiksaan.

Irene dilaporkan tinggal bersama neneknya selepas ibunya meninggal dunia akibat barah, manakala bapanya bekerja di Kuala Lumpur.
Sumber : Agensi berita/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita