Skip to main content

Dunia

3 pembantu rawatan kesihatan dipenjara & didenda; terima rasuah urus jenazah

Anggaran Waktu Membaca:
3 pembantu rawatan kesihatan dipenjara & didenda; terima rasuah urus jenazah

Gambar Hiasan

Diterbitkan : 22 Dec 2022 06:47PM
SHAH ALAM: Tiga pembantu rawatan kesihatan di Hospital Kajang dipenjara sehari dan masing-masing didenda antara RM3,000 (S$915) dan RM5,000 (S$1,525) oleh Mahkamah Sesyen di Shah Alam pada Khamis (22 Dis) selepas mengaku bersalah menerima rasuah berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Sharum Hassim, 42 tahun, Muhd Azhar Nahar, 45 tahun, dan Mohd Nizam Noordin, 42 tahun, selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah bagi pertuduhan pilihan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 ke atas Sharum manakala Azhar dan Nizam masing-masing didenda RM5,000.

Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga lelaki terbabit menjalani hukuman penjara tersebut bermula pada Khamis dan dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan pilihan, Sharum, Azhar dan Nizam yang merupakan pembantu rawatan kesihatan di Unit Forensik Hospital Kajang, masing-masing menerima wang berjumlah antara RM300 (S$91) dan RM600 (S$183) daripada Nur Azlan Azmi melalui akaun mereka tanpa sebarang balasan daripada Nur Azlan yang diketahui olehnya ada kaitan dengan tugas rasmi tertuduh iaitu bagi kerja-kerja pengurusan jenazah.

Sharum didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Taman Ria Jaya Sungai Petani, Kedah manakala Azhar dituduh melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Kajang, Hulu Langat dan Nizam pula dituduh melakukan kesalahan itu di Bank Islam Cawangan Kajang, Hulu Langat.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 21 Mei hingga 9 Dis 2020.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Aliff Shaharuzaman manakala ketiga-tiga lelaki itu diwakili peguam Mohd Fikah Sanusi.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita