3 pekerja Petronas maut, seorang cedera parah dalam insiden di perairan Terengganu
Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengesahkan tiga pekerja kontraktornya maut manakala seorang lagi cedera parah dalam satu kejadian semasa menjalankan kerja penyenggaraan di platform Sepat di perairan Terengganu-Kelantan, pada Ahad (24 Mei).
Logo Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di pejabatnya di Kuala Lumpur, Malaysia pada 15 Ogos 2017. (Gambar fail: REUTERS/Lai Seng Sin)
This audio is generated by an AI tool.
Dalam kenyataan pada Isnin, Petronas memaklumkan siasatan berhubung punca kejadian sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa yang berkaitan.
“Petronas merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga, rakan-rakan dan rakan sekerja mangsa yang meninggal dunia. Keutamaan segera syarikat ialah untuk menyokong kesejahteraan mereka yang terkesan,” menurut kenyataan itu.
Pada Ahad, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata kejadian berlaku pada pukul 12.50 tengah hari semasa semua mangsa dipercayai menaiki sebuah bot penyelamat yang berada di atas platform untuk turun ke laut bagi menjalankan kerja penyelenggaraan di bahagian bawah platform tersebut.
Bagaimanapun, tali atau cangkuk yang dipasang pada bot itu dipercayai tercabut menyebabkan kesemua mangsa terjatuh ke dalam laut bersama-sama bot.
Mereka yang maut ialah Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dari Batu Berendam, Melaka; Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dari Kuantan, Pahang; dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, dari Bandar Indera Mahkota, Pahang.
Seorang lagi mangsa, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dari Banting, Selangor dilaporkan cedera parah dan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Kuala Terengganu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.