3 pegawai imigresen M'sia ditahan atas kes seludup warga asing di KLIA, JB

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Khairul Dzaimee Daud (Gambar: BERNAMA)
JOHOR BAHRU: Tiga pegawai imigresen Malaysia ditahan membabitkan kes penyeludupan dan pemerdagangan manusia di beberapa lokasi di Sepang, Iskandar Puteri dan Johor Bahru, pada Isnin (7 Nov).
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata tangkapan itu membabitkan kes penyeludupan warga asing di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di Iskandar Puteri pada 12 Oktober; Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 1 November dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, pada 7 November.
“Operasi pertama di KSAB, seorang pegawai ditahan dan disiasat serta berada dalam jaminan polis, kedua (kes seludup) di Kota Bahru Kelantan, tetapi tiada pegawai imigresen terlibat.
“Di KLIA2 pula, seorang pegawai imigresen telah direman dan akan dituduh sewajarnya di bawah Akta Antipemerdagangan Orang, manakala terbaru di BSI pada 7 November, seorang pegawai imigresen disiasat,” katanya sewaktu sidang media pada Rabu (9 Nov).
Turut hadir Pengarah Jabatan Imigresen Johor Baharuddin Tahir.
Encik Khairul Dzaimee berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes penyeludupan warga asing yang dipercayai melibatkan pegawai imigresen.
Selain itu, beliau turut menegaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak akan berkompromi dan menjelaskan individu yang terlibat akan disiasat dan berdepan tindakan tegas, termasuk dibuang kerja, sekiranya didapati bersalah, seperti mana yang dimaklumkan Menteri Dalam Negeri (KDN) Hamzah Zainudin semalam.
“Pelibatan pegawai ini tidak menggambarkan tahap keseluruhan integriti jabatan, ini hanyalah kes terpencil yang hanya melibatkan segelintir kecil pegawai sahaja,” katanya.
Pada 12 Oktober lalu, JIM menahan 25 pendatang haram Indonesia yang dipercayai memasuki Malaysia menerusi pintu sempadan di KSAB, manakala enam lelaki warganegara India ditahan di KLIA2 pada 1 November.
Pada 7 November, seramai 12 pendatang asing warga Indonesia pula ditahan semasa pemeriksaan di CIQ BSI.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.