Skip to main content

Dunia

3 maut selepas pengebom nekad serang ibu pejabat separa tentera Pakistan

Anggaran Waktu Membaca:
3 maut selepas pengebom nekad serang ibu pejabat separa tentera Pakistan
Pasukan tentera mengawal pintu masuk bangunan itu selepas pengebom nekad menyasarkan ibu pejabat pasukan separa tentera Pakistan di Peshawar pada 24 Nov 2025. (Gambar: Reuters/Khuram Parvez)
Diterbitkan : 24 Nov 2025 06:13PM Dikemas Kini : 24 Nov 2025 06:35PM
PESHAWAR: Tiga pengebom nekad menyasarkan ibu pejabat separa tentera Pakistan pada Isnin (24 Nov), menyebabkan tiga anggota terbunuh dan sekurang-kurangnya lima orang cedera, menurut pihak berkuasa.

Para penyerang melepaskan tembakan sebaik sahaja mereka menceroboh masuk ke dalam ibu pejabat konstabulari semapdan di bandar Peshawar sebelum meletupkan diri di dalam kompleks tersebut, menurut polis.

Tiga anggota separa tentera terkorban dalam serangan itu, kata timbalan komandan pasukan itu, Javed Iqbal.

"Pengebom nekad yang pertama melancarkan searangn di pintu depan utama bangunan itu sementara yang lain menceroboh masuk ke dalam," kata seorang pegawai kanan kepada Reuters dengan syarat identitinya tidak didedahkan kerana beliau tidak mempunyai kebenaran untuk bercakap kepada media.

"Anggota penguatkuasaan undang-undang, termasuk tentera dan polis, mengepung kawasan tersebut dan sedang menangani situasi itu dengan berhati-hati kerana kami mengesyaki terdapat beberapa pengganas dalam ibu pejabat itu," kata pegawai berkenaan.

Ibu pejabat pasukan itu terletak di kawasan padat dengan penduduk di Peshawar, iaitu ibu kota wilayah Khyber Pakhtunkhwa.

"Jalan raya ditutup bagi lalu lintas dan dikepung oleh pasukan tentera, polis dan anggota (keselamatan)," kata Safdar Khan, seorang penduduk di kawasan itu kepada Reuters.

Lima orang yang cedera, termasuk dua kakitangan separa tentera, dibawa ke Hospital Lady Reading, kata jurucakap hospital, Mohammad Asim.

Tiada kumpulan militan yang mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu sejauh ini.

Anggota militan yang beroperasi di rantau itu memperhebatkan serangan dalam beberapa minggu kebelakangan ini menyusuli pertempuran sempadan yang maut antara Pakistan dengan Afghanistan pada bulan lalu.

Pakistan menuduh Taliban Afghanistan kerana melindungi pasukan militan yang didakwa melancarkan serangan merentas sempadan, iaitu tuduhan yang dinafikan oleh Kabul.
Sumber : Reuters/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita