3 maut, lebih 1,000 orang di Lubnan, termasuk anggota Hezbollah, cedera apabila alat kelui meletup

Gambar: Anwar AMRO / AFP
BEIRUT: Sekurang-kurang tiga terbunuh dan lebih 1,000 orang termasuk anggota Hezbollah dan pegawai perubatan cedera pada Selasa (17 Sep) apabila alat kelui yang digunakan sebagai wadah komunikasi meletup di merata Lubnan, sumber keselamatan memberitahu Reuters.
Seorang pegawai Hezbollah, yang namanya tidak didedahkan, berkata letupan alat kelui itu merupakan "pelanggaran terbesar keselamatan" yang dialami kumpulan tersebut dalam hampir setahun perang dengan Israel.
Israel dan Hezbollah yang disokong Iran sering terlibat dalam pertempuran rentas sempadan sejak perang Gaza tercetus pada Oktober tahun lalu. Ini merupakan kemelut paling dahsyat dalam tempoh bertahun-tahun.
Tentera Israel bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen kepada Reuters mengenai letupan tersebut.
Agensi berita Iran, Mehr, melaporkan bahawa duta Iran ke Lubnan, Mojtaba Amani, mengalami kecederaan disebabkan salah satu letupan itu. Reuters bagaimanapun tidak dapat segera mengesahkan laporan tersebut.
Seorang wartawan Reuters menyaksikan ambulans bergegas melalui kawasan pinggir bandar di selatan ibu kota Beirut, iaitu kubu kuat Hezbollah, di tengah-tengah keadaan cemas di sana. Satu sumber keselamatan berkata alat-alat itu juga meletup di selatan Lubnan.

Di Hospital Mt Lebanon, seorang wartawan Reuters melihat beberapa motosikal di jabatan kecemasan, di mana orang ramai dengan tangan berlumuran darah sedang mengerang kesakitan.
Ketua hospital awam Nabatieh di selatan negara itu, Hassan Wazni, memberitahu Reuters sekitar 40 orang cedera sedang dirawat di kemudahan itu. Kecederaan yang dialami termasuk pada bahagian muka, mata dan kaki serta tangan.
Gelombang letupan itu berlangsung sekitar sejam selepas letupan awal, yang berlaku kira-kira pukul 3.45 petang waktu tempatan. Namun tidak segera diketahui bagaimana alat-alat itu diletupkan.
Pasukan-pasukan keselamatan dalaman Lubnan menyatakan sejumlah peranti komunikasi tanpa wayar diletupkan di merata Lubnan, khususnya di kawasan pinggir bandar di Beirut, menyebabkan kecederaan.
Orang ramai berkumpul di pintu-pintu masuk bangunan untuk mencari orang-orang yang mereka kenali yang mungkin cedera, kata seorang wartawan Reuters.
Rakaman CCTV yang ditayangkan syarikat-syarikat penyiar serantau menunjukkan satu peranti kecil, yang terletak bersebelahan dengan lokasi juruwang di sebuah kedai di mana seorang individu dilihat sedang membuat bayaran, tiba-tiba meletup. Menerusi satu lagi rakaman, satu letupan menederakan seseorang yang sedang berdiri di sebelah gerai buah-buahan di satu kawasan pasar.
Pusat operasi krisis Lubnan, yang dikendalikan kementerian kesihatan, meminta semua petugas kesihatan kembali ke hospital masing-masing untuk membantu menangani jumlah besar orang yang cedera. Ia juga mengingatkan para petugas kesihatan supaya jangan menggunakan alat kelui.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.