3 maut ditikam dalam serangan di Britain
Tiga orang maut dan tiga lagi cedera parah setelah seorang lelaki menyerang orang ramai di sebuah taman di bandar Reading di selatan England pada Sabtu (20 Jun). Polis bagaimanapun berkata mereka tidak menganggap kejadian itu sebagai pengganasan.

Polis mengepung tempat kejadian tikaman di Reading, Britain (Gambar: AFP/Adrian DENNIS)
LONDON: Tiga orang maut dan tiga lagi cedera parah setelah seorang lelaki menyerang orang ramai di sebuah taman di bandar Reading di selatan England pada Sabtu (20 Jun). Polis bagaimanapun berkata mereka tidak menganggap kejadian itu sebagai pengganasan.
Para saksi berkata seorang lelaki amuk di Forbury Gardens, menikam secara rambang orang ramai yang berkumpul di sebuah taman di Reading, yang terletak sekitar 65 kilometer dari barat London.
Seorang lelaki berusia 25 tahun dari Reading ditangkap kerana disyaki membunuh, kata polis, sambil menambah bahawa mereka tidak mencari sebarang suspek lain.
"Tiada maklumat risikan yang menunjukkan bahaya masih ditimbulkan kepada orang awam, namun kami menggesa orang ramai untuk terus berwaspada dan melaporkan sebarang perkara mencurigakan dengan menghubungi polis," kata Detektif Ketua Superintendan Ian Hunter.
"Pada masa ini ia tidak dianggap sebagai kejadian pengganasan, namun para pegawai mempertimbangkan semua kemungkinan motif kejadian, disokong oleh rakan-rakan dari Jabatan Pengawan Anti Pengganasan Tenggara."
The Press Association melaporkan lelaki yang ditangkap itu ialah seorang warga Libya.
Perdana Menteri Boris Johnson telah mengecam "kejadian menggerunkan" di taman Forbury Gardens di tengah bandar yang didiami 220,000 penduduk itu.
"Ingatan saya adalah bersama semua orang yang terjejas oleh kejadian mengejutkan di Reading dan saya mengucapkan terima kasih kepada pasukan khidmat kecemasan yang berada di tempat kejadian," tulis Encik Johnson di Twitter.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.