3 maut disambar petir di tapak UNESCO Angkor Wat, Kemboja
Tiga orang maut dan beberapa yang lain cedera dipanah petir ketika melawat kompleks kuil Angkor Wat yang terkenal di Kemboja.
Pemandangan udara yang menunjukkan kuil Angkor Wat di wilayah Siem Reap pada 27 November 2024. (Gambar fail: AFP/Suy Se)
Mereka berlindung di sekitar kuil utama tapak Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu apabila petir menyambar pada lewat petang Jumaat (16 Mei).
Video yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan dua ambulans tiba di tempat kejadian dan orang ramai serta para pegawai kuil tersebut membawa beberapa orang yang cedera dan membantu orang lain. Imej-imej lain menunjukkan ramai orang dirawat di hospital.
Sehari selepas kejadian itu, Menteri Pelancongan Kemboja Hout Hak mengeluarkan kenyataan bagi memberitahu orang ramai supaya menurunkan catatan online mengenai kejadian tersebut, sambil mengatakan bahawa penyebaran “maklumat negatif” boleh menjejas sektor pelancongan negara itu.
Pihak berkuasa tidak mengeluarkan sebarang maklumat mengenai kejadian itu, tetapi seorang pegawai pada Isnin (19 Mei), bercakap dengan syarat tidak mahu namanya didedahkan disebabkan oleh sensitiviti isu itu, mengesahkan kepada The Associated Press bahawa tiga orang - semuanya warga Kemboja - terbunuh dalam panahan kilat itu.
Palang Merah Kemboja juga memuat naik kemas kini menyatakan ia telah menghantar pakej penjagaan kepada keluarga dua mangsa, seorang lelaki berusia 34 tahun dan seorang wanita berusia 52 tahun. Pihak Palang Merah juga enggan mengulas lanjut melalui telefon.
Jurucakap laman Angkor Wat tidak menjawab permintaan untuk memberikan ulasan, begitu juga pegawai kesihatan wilayah.
Pemerintah Kemboja di bawah Perdana Menteri Hun Manet mengawal ketat maklumat, dan telah dituduh oleh kumpulan hak asasi manusia menggunakan sistem mahkamah untuk mendakwa pengkritik dan seteru politik.
Encik Hun Manet pada 2023 menggantikan bapanya, Encik Hun Sen, yang dikritik secara meluas kerana menindas kebebasan bersuara selama hampir empat dekad pemerintahannya.
Angkor Wat adalah daya tarikan pelancong yang paling terkenal di Kemboja, menarik kira-kira 2.5 juta pelawat setiap tahun, malah ia turut dipaparkan pada bendera negara itu.
UNESCO menyifatkan tapak itu, yang terbentang merentasi kira-kira 400 km persegi dan menempatkan runtuhan ibu kota Empayar Khmer dari abad ke-9 hingga ke-15, sebagai salah satu tapak arkeologi terpenting di Asia Tenggara.
Kemboja sedang giat membangunkan kawasan itu untuk menarik lebih ramai pengunjung, termasuk membuka lapangan terbang baharu yang dibiayai oleh China bernilai AS$1.1 bilion di Siem Reap yang terletak berdekatan.
Tindakannya untuk memindahkan kira-kira 10,000 keluarga yang menetap di kawasan Angkor Wat ke penempatan baharu telah mengundang kritikan meluas daripada kumpulan hak asasi manusia, dengan UNESCO turut menyatakan kebimbangannya.
Pihak berkuasa Kemboja mendakwa bahawa keluarga-keluarga itu dipindahkan secara sukarela, tetapi Amnesty International dan kumpulan-kumpulan lain telah mempersoalkan sejauh mana penempatan semula itu dilakukan secara rela.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.