3 maut dalam kemalangan bas ekspres, 2 lori
Tiga maut dalam kemalangan melibatkan dua lori dan sebuah bas ekspres di KM142 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran susur keluar Pagoh semalam (3 Jun).

Tiga orang terkorban dalam nahas melibatkan bas ekspres dan dua lori pada petang Ahad (3 Jun). (Gambar: BERNAMA)
MUAR: Tiga maut dalam kemalangan melibatkan dua lori dan sebuah bas ekspres di KM142 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran susur keluar Pagoh semalam (3 Jun).
Ketua Polis Daerah Muar ACP Zaharudin Rasip berkata mereka yang meninggal dunia adalah pemandu bas ekspres yang dikenal pasti sebagai Shuaib K.K Mohamed Unny, 50 tahun, dari Kampung Kurnia Jaya, Kamunting, Perak.
Beliau berkata dua lagi yang meninggal dunia adalah penumpang bas masing-masing wanita Melayu berusia 20-an dan 50-an, yang masih belum dikenal pasti identiti mereka kerana dokumen pengenalan mereka masih belum ditemui dan semua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kira-kira 1.15 tengah hari ini berlaku kemalangan tersebut. Siasatan awal mendapati lori kontena yang membawa muatan pallet dari arah Tol Pagoh ke Kuala Lumpur ketika menuruni susur dipercayai bergesel dengan lori tangki di bahagian tepi belakang menyebabkan pemandu lori kontena hilang kawalan.
“Akibatnya lori kontena terbalik melintang di tengah jalan. Kemudian sebuah bas dari arah Johor Bahru ke Kuala Lumpur yang membawa 27 penumpang melanggar muatan kontena yang tertanggal daripada badan lori tersebut,” kata ACP Zaharudin.
Beliau menambah, 22 penumpang bas itu mengalami cedera ringan dan dibawa ke Hospital Muar untuk rawatan lanjut, manakala ketiga-tiga mayat mangsa dibawa ke hospital sama untuk urusan bedah siasat.
“Pemandu lori kontena itu cedera di bahagian pinggang dan dibawa ke Hospital Muar untuk rawatan. Seorang kelindan dan tiga penumpang bas serta pemandu lori tangki itu tidak cedera. Ketika kejadian, didapati jalan raya sibuk di kedua-dua arah dan cuaca dalam keadaan baik,” katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muar Marzuki Ismail berkata 13 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Muar, serta 10 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir terlibat dalam operasi yang tamat sekitar 2.10 petang itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.