Skip to main content

Dunia

3 maut dalam insiden tembakan di Montreal

Anggaran Waktu Membaca:
3 maut dalam insiden tembakan di Montreal

Polis berkumpul berhampiran lokasi kejadian tembakan di Montreal pada 22 Jun 2026, yang mengorbankan tiga orang. (Gambar: AFP/Daphne Lemelin)

Diterbitkan : 23 Jun 2026 01:30PM
NEW YORK: Seorang pegawai polis, seorang penduduk dan seorang lelaki yang dipercayai penyerang terbunuh dalam insiden tembakan pada Isnin (21 Jun) di Montreal, Kanada, menurut pihak berkuasa.

"Dengan penuh dukacita kami mengesahkan kematian seorang pegawai polis kami ketika menjalankan tugas.

"Butiran lanjut akan menyusul," menurut Polis Montreal menerusi platform media sosial X, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Pihak berkuasa turut mengesahkan bahawa seorang orang awam dan suspek terbunuh dalam kejadian itu, manakala dua lagi individu, termasuk seorang pegawai polis cedera.

Jurucakap polis kemudian memaklumkan bahawa pegawai polis yang cedera itu tidak lagi dalam keadaan mengancam nyawa.

Para penyiasat menolak kemungkinan motif pengganasan di sebalik insiden itu dan berkata tiada suspek lain dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.

Sebelum itu, polis memberi amaran mengenai seorang "suspek bersenjata dan berbahaya" serta menggesa orang ramai menjauhi kawasan kejiranan Côte-des-Neiges.

Menurut penyiar CBC, para penduduk turut diarahkan supaya duduk di rumah dan mengunci pintu masing-masing.

Ketua Polis Montreal, Fady Dagher, berkata anggota polis ditembak sebaik tiba di lokasi kejadian.

Polis memaklumkan suspek sudah "ditahan" dan percaya penyerang bertindak bersendirian.

Menurut CBC, siasatan masih diteruskan walaupun amaran kecemasan yang dikeluarkan sebelum ini ditarik balik.

Menurut laporan media, penyerang dipercayai menulis sebuah manifesto yang mengandungi unsur-unsur kebencian yang dikaitkan dengan gerakan "incel", iaitu masyarakat online anti-feminis yang mempromosikan naratif misoginis serta peranan gender tradisional.

Bagaimanapun, dakwaan itu belum disahkan oleh pihak berkuasa keselamatan.
Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita