Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

3 maut, 8 cedera susuli serangan senjata api di sekolah tinggi AS

Seorang pelajar berusia 15 tahun melepaskan tembakan di sekolah tingginya di Michigan pada Selasa (30 Nov), membunuh tiga remaja dan mencederakan lapan yang lain sebelum menyerah diri kepada polis.

Anggaran Waktu Membaca:
3 maut, 8 cedera susuli serangan senjata api di sekolah tinggi AS

Kenderaan polis hadang laluan masuk ke sebuah sekolah tinggi di Michigan, AS di mana serangan tembakan berlaku pada 30 Nov 2021 (Gambar: AFP/Matthew Hatcher, Getty Images)

Diterbitkan : 01 Dec 2021 09:00AM Dikemas Kini : 01 Dec 2021 09:04AM

OXFORD, Amerika Syarikat: Seorang pelajar berusia 15 tahun melepaskan tembakan di sekolah tingginya di Michigan pada Selasa (30 Nov), membunuh tiga remaja dan mencederakan lapan yang lain sebelum menyerah diri kepada polis, menurut pihak berkuasa, dengan kejadian tembakan itu disifatkan sebagai yang paling berdarah di sebuah sekolah tahun ini.

Lapan yang lain, termasuk seorang guru, cedera dalam serangan itu, yang berlaku sejurus selepas 12.00 tengah hari ketika kelas sedang berlangsung di Sekolah Tinggi Oxford, menurut Pejabat Syerif Oakland County.

Menurut Pejabat Syerif, mangsa yang terkorban adalah seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dan dua remaja perempuan berusia 14 tahun dan 17 tahun.

Enam yang tercedera kini dalam keadaan stabil manakala dua lagi sedang menjalani pembedahan.

Suspek sudah ditahan dan pistol separa automatik dirampas, namun belum jelas punca yang mungkin mendorong serangan di Oxford, sebuah bandar kecil kira-kira 65 kilometer dari utara Detroit.

“Tiada pergelutan semasa menahan suspek yang telah meminta seorang peguam dan tidak membuat sebarang kenyataan mengenai motifnya,” dedah Pejabat Syerif.

"Keadaan sangat tragis," kata Timbalan Syerif Michael McCabe kepada para wartawan.

"TERKEJUT"

Presiden Joe Biden dimaklumkan mengenai kejadian tembakan itu semasa melakukan lawatan ke Minnesota.

“Hati saya terharu dengan berita sedih ini, khususnya kepada para keluarga yang terpaksa menanggung kesedihan yang tidak dapat dibayangkan atas kehilangan orang tersayang,” katanya.

"Seluruh masyarakat di sana pasti dalam keadaan terkejut sekarang."

Menurut McCabe, polis sudah menghubungi ibu bapa suspek dan menggeledah rumah mereka.

Suspek hadir di kelas pada hari kejadian dan dipercayai melakukan serangan seorang diri.

Tidak jelas sama ada mangsa telah disasarkan secara khusus atau ditembak secara rambang, kata McCabe.

"Dia (suspek) tidak berkata apa-apa kepada kami buat masa ini," katanya kepada pemberita.

KEJADIAN TEMBAKAN KE-139 DI SEKOLAH AMERIKA TAHUN INI

Kejadian itu adalah tembakan paling berdarah di sekolah Amerika pada tahun ini, menurut Everytown For Gun Safety, sebuah kumpulan yang mengumpulkan statistik kejadian tembakan besar-besaran dan melobi untuk mengawal senjata.

Sebelum kejadian pada Selasa, terdapat 138 kejadian tembakan di sekolah merata Amerika Syarikat pada 2021, menurut perangkaan oleh Everytown.

Dalam kejadian-kejadian itu, 26 menyebabkan korban jiwa, namun tidak lebih daripada dua bagi setiap kejadian.

Apabila ditanya tentang isu tembakan besar-besaran di negara itu, Gabenor Michigan Gretchen Whitmer berkata: "Ini adalah masalah unik di Amerika yang perlu kita tangani."

Tembakan di sekolah yang paling berdarah dalam sejarah Amerika adalah serangan pada April 2007 di Virginia Tech di Blacksburg, Virginia, yang menyaksikan 33 terbunuh, termasuk penyerang, diikuti dengan serangan Disember 2012 di sekolah rendah Sandy Hook di Newtown, Connecticut, yang menyebabkan 28 maut , termasuk 20 kanak-kanak dan penyerangnya.

Pada Februari 2018, seorang lelaki dengan senapang gempur AR-15 melepaskan tembakan di bekas sekolah tingginya di Parkland, Florida, membunuh 17 orang, dalam kejadian tembakan paling berdarah di sesebuah sekolah tinggi.

Shannon Watts, pengasas kumpulan Moms Demand Action, menggesa kawalan lebih ketat terhadap senjata api, dengan mengatakan terdapat 400 juta senjata api dimiliki oleh orang awam di merata negara.

"Jika lebih banyak senjata menjadikan kita lebih selamat, kita sepatutnya adalah negara yang paling selamat di dunia," tulis Watts di Twitter. 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan