3 mati akibat barah selepas menjalani pemindahan organ
Dalam satu laporan perubatan yang digambarkan sebagai 'luar biasa' baru-baru ini, tiga orang meninggal dunia akibat penyakit barah payudara, selepas menjalani pemindahan organ daripada penderma yang sama.
Gambar fail sebuah hospital di Netherlands. (Gambar: Google Maps)
NETHERLANDS: Dalam satu laporan perubatan yang digambarkan sebagai 'luar biasa' baru-baru ini, tiga orang meninggal dunia akibat penyakit barah payudara, selepas menjalani pemindahan organ daripada penderma yang sama.
Penderma itu, seorang wanita berusia 53 tahun meninggal dunia akibat serangan angin ahmar pada 2007. Mendiang mendermakan buah pinggang, paru-paru, hati dan jantungnya kepada para pesakit yang memerlukan pemindahan organ.
Malangnya, dalam tempoh enam tahun selepas pemindahan organ dilakukan, empat daripada lima penerima meninggal dunia.
BARAH TIDAK DIKESAN SEBELUM PEMINDAHAN
Pesakit jantung yang menjalani pemindahan organ tersebut meninggal dunia akibat sepsis atau jangkitan kuman dalam darah manakala empat yang lain kemudian menghidap barah payudara yang merebak kepada organ-organ lain. Hanya seorang yang masih hidup.
Barah tersebut tidak dikesan para doktor sebelum pemindahan dijalankan. Organ-organ yang didermakan dikatakan 'senyap-senyap' membawa jangkitan tersebut yang akhirnya merebak dalam tubuh penerima.
Para pakar berkata kemungkinan seseorang menghidap penyakit barah yang berpunca daripada pemindahan organ sangat kecil iaitu 0.0001 peratus.
Mereka percaya kes ini merupakan yang pertama seumpamanya. Malah kes seperti ini tidak pernah berlaku di mana barah merebak dari seorang pesakit kepada empat penerima. Mentelah lagi ketumbuhan itu mengambil masa yang panjang untuk membesar.
SAINTIS BERI AMARAN TENTANG KAJIAN 'BERLEBIHAN'
Para saintis berpendapat kejadian itu berlaku kerana organ-organ yang dipindahkan tidak mendapat bekalan darah buat sementara waktu dan ini menyebabkan sel-sel tumor dalam darah bergumpal pada organ-organ lalu merebak.
Oleh kerana para pesakit juga mengambil ubat-ubatan yang melemahkan sistem imun mereka supaya tidak menolak organ penderma, barah itu boleh merebak tanpa dikesan.
Dalam jurnal perubatan berkaitan pemindahan organ, penulis Yvette Matser mengingatkan bahawa kes seumpama ini, jika dikaji dengan terlalu terperinci, akan menjejas jumlah pemindahan organ yang boleh dilakukan walhal jumlah mereka yang boleh menderma organ sudah terhad.
Namun, Daily Mail menukilnya sebagai berkata pemeriksaan kesihatan ke atas penderma dan penerima perlu dijalankan.
"Kes ini amat luar biasa kerana menunjukkan akibat yang sering membawa maut daripada barah payudara yang berasal daripada penderma. Pemulihan sistem imun pesakit juga boleh membantu ketumbuhan dikawal sepenuhnya".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.