Skip to main content

Dunia

3 lelaki, 5 wanita didakwa atas ajaran 'Tuhan Harun'

Anggaran Waktu Membaca:
3 lelaki, 5 wanita didakwa atas ajaran 'Tuhan Harun'

(Gambar hiasan: iStock)

Diterbitkan : 21 Dec 2024 10:47AM Dikemas Kini : 21 Dec 2024 11:37AM
SHAH ALAM: Lapan individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah pada Jumaat (20 Dis) atas tuduhan berkaitan ajaran sesat 'Tuhan Harun'.

Pertuduhan terhadap tiga lelaki dan lima wanita itu dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Dr Zainal Abidin Kusmin.

Mereka antaranya dipercayai membuat dakwaan palsu dengan mengakui diri sebagai klon tuhan, membuat catatan menerusi kumpulan sembang di aplikasi Telegram yang mendakwa bahawa Harun adalah tuhan, dan bersubahat untuk membuat dakwaan palsu mengenai perkara serupa menerusi aplikasi yang sama.

Pendakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 8B dan Seksyen 46B Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000, penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Hakim Zainal Abidin kemudian membenarkan jaminan lisan ke atas semua tertuduh dengan dua penjamin warga tempatan selain menetapkan sebutan kes bagi kos jaminan pada Isnin depan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataannya berkata kesemua individu berkenaan diberkas hasil serbuan ke atas sebuah premis di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

"Hasil risikan mendapati profil dan modus operandi kumpulan itu mempunyai persamaan dan kaitan rapat dengan ajaran berkenaan," katanya lagi.

Beliau berkata pihaknya turut menyita beberapa peranti seperti telefon bimbit, komputer riba, tablet dan dokumen yang mempunyai kaitan dengan ajaran sesat itu.
 
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita