3 lagi ditahan bantu siasatan kes tutup jalan untuk berlumba di Linkedua
Polis menahan tiga lagi lelaki bagi membantu siasatan kes menutup jalan untuk berlumba di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) pada 22 Ogos. (Gambar fail: BERNAMA)
- Polis Johor menahan tiga lelaki di Kuala Lumpur pada 26 Ogos bagi membantu siasatan kes menutup jalan untuk perlumbaan haram di Lebuhraya Linkedua pada 22 Ogos.
- Ketiga-tiga suspek berumur antara 24 hingga 41 tahun, dengan seorang direman empat hari dan dua lagi direman sehari di Mahkamah Majistret Kulai.
- Sebelum ini, lapan lelaki termasuk seorang pempengaruh permotoran turut ditahan dan direman selama empat hari berkaitan kes sama.
- Kejadian menutup jalan dari susur Tol Senai Utara ke Johor Premium Outlets menjadi tular selepas video menunjukkan sekumpulan individu menahan pengguna jalan raya untuk berlumba.
Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee berkata ketiga-tiga individu berusia antara 24 dengan 41 tahun itu ditahan di sekitar Kuala Lumpur.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Seorang direman empat hari, manakala dua lagi direman sehari selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Kulai pagi tadi," katanya dalam satu kenyataan.
Awal dari itu, lapan lelaki termasuk seorang pempengaruh permotoran ditahan pada Ahad (23 Ogos) dan direman selama empat hari bermula Isnin bagi membantu siasatan kes tersebut.
Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad sebelum ini dilaporkan berkata sekumpulan individu dipercayai menutup jalan dari kilometer 33 susur Tol Senai Utara hingga kilometer 31, susur Johor Premium Outlets (JPO) di Linkedua untuk berlumba.
Kejadian itu tular di media sosial selepas rakaman video memaparkan sekumpulan individu menahan pengguna jalan raya bagi memberi laluan kepada mereka untuk berlumba.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.