3 lagi calon diumum MUDA bagi PRN Johor
Presiden Parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. (Gambar: BERNAMA)
JOHOR BAHRU: Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Johor Azrol Rahani diumumkan sebagai calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Dua lagi pengasas MUDA yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif parti berkenaan iaitu Nurafiqah M. Zulkifli dan Lim Wei Jiet pula masing-masing diumumkan bakal bertanding di DUN Bukit Kepong dan DUN Tenang.
Dengan pengumuman oleh Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di satu majlis di Labis, Segamat, ini sekali gus menjadikan empat calon parti berkenaan bakal bertanding dalam PRN Johor.
Azrol, 41, dari Masai Johor Bahru, merupakan seorang usahawan manakala Lim, 31, dari Muar, seorang peguam dan Nurafiqah, 31, anak kelahiran Muar, adalah Pegawai Khas Ahli Parlimen Muar.
Syed Saddiq dalam ucapannya berkata ketiga-tiga calon merupakan golongan profesional yang mempunyai kualiti kerja yang sangat baik serta bersemangat memberikan perkhidmatan kepada rakyat Johor.
Sebelum ini, Setiausaha Agung MUDA Amira Aisya Abd Aziz diumumkan bertanding di kerusi DUN Puteri Wangsa.
PRN Johor merupakan penampilan pertama MUDA dalam pilihan raya selepas menerima surat rasmi pendaftarannya pada 28 Disember tahun lalu.
Amanah dan DAP dilapor akan memberi laluan kepada MUDA untuk bertanding di enam kerusi bagi PRN Johor iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai manakala PKR menawarkan tiga kerusi kepada parti itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh pengundian PRN Johor pada 12 Mac dengan penamaan calon pada 26 Februari manakala 8 Mac ditetapkan untuk pengundian awal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.