Skip to main content

Dunia

3 kertas siasatan dibuka berhubung kes hina Islam, Nabi Muhammad

Tiga kertas siasatan dibuka berhubung kes penghinaan ke atas agama Islam, Nabi Muhammad dan isteri, Saidatina Aishah.

Anggaran Waktu Membaca:
3 kertas siasatan dibuka berhubung kes hina Islam, Nabi Muhammad

Gambar fail AFP.

Diterbitkan : 24 Feb 2019 10:11PM Dikemas Kini : 24 Feb 2019 10:12PM

KUALA LUMPUR: Tiga kertas siasatan dibuka berhubung kes penghinaan ke atas agama Islam, Nabi Muhammad dan isteri, Saidatina Aishah.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata ketiga-tiga kes disiasat di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi 1998.

“Kertas siasatan dibuka terhadap pemilik akaun Facebook, Foo Sing Wai yang memuat naik kata-kata dan infografik menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aishah, dan menerima sebanyak 478 laporan polis setakat 9.00 pagi, hari ini (24 Feb).

“Suspek yang berusia 68 tahun itu ditangkap pada Selasa (19 Feb) dan direman selama tiga hari bermula 20 hingga 22 Feb,” jelas Encik Fuzi.

Beliau berkata atas faktor umur dan komplikasi kesihatan, suspek dibebaskan pada Jumaat (22 Feb), dengan jaminan polis dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak timbalan pendakwa raya bagi arahan lanjut.

Selain itu, sebanyak 11 aduan polis dibuat sehingga hari ini (24 Feb) berhubung kata-kata hinaan oleh pemilik akaun Facebook, Sarkar Tanesan terhadap Nabi Muhammad dan umat Islam dengan kata-kata jelik.

Encik Mohamad Fuzi berkata suspek berusia 21 tahun itu ditangkap pada Khamis (21 Feb) dan direman sehingga esok (25 Feb) untuk membantu siasatan.

Selain itu, 16 aduan polis diterima terhadap pemilik akaun Facebook Sally Yen berhubung komen jeliknya pada 2013 terhadap Nabi Muhammad dan agama Islam dan kes diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut) oleh pihak pendakwa raya kerana pemilik akaun tidak dapat dikenal pasti setelah dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk pengesahan.

Beliau berkata sehingga kini, terdapat dua aduan polis dibuat berhubung kes berkenaan dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti pemilik akaun Facebook Sally Yen dan juga terhadap pihak yang menular semula ‘posting’ (kiriman) tersebut.

“Orang ramai dinasihati supaya tidak membuat, menyebarkan, berkongsi sebarang kenyataan pelik yang boleh menggugat ketenteraman awam, dan boleh menjejaskan perpaduan masyarakat berbilang agama serta bangsa,” katanya. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita