Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

3 kedai, sebuah rumah musnah dijilat api di Alor Setar

Deretan tiga buah kedai dan sebuah kediaman musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Alor Gunung, Jalan Gunung Keriang, di Malaysia pada pukul 8.00 pagi hari ini (13 Dis). 

Anggaran Waktu Membaca:
3 kedai, sebuah rumah musnah dijilat api di Alor Setar

Gambar hiasan seorang anggota pasukan Bomba Malaysia. (Gambar: Facebook/ Friends of Bomba Malaysia)

Diterbitkan : 13 Dec 2021 05:26PM Dikemas Kini : 13 Dec 2021 05:29PM

ALOR SETAR: Deretan tiga buah kedai dan sebuah kediaman musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Alor Gunung, Jalan Gunung Keriang, di Malaysia pada pukul 8.00 pagi hari ini (13 Dis).

Api kebakaran yang marak dengan pantas itu memusnahkan kedai perabot, kedai jualan lampin pakai buang, kedai mencuci baju dan sebuah kediaman, menurut laporan AstroAWANI.

Nurhaitulnisaq Abu Hassan, mangsa yang juga pemilik kedai, berkata beliau tidak menyangka bahawa rancangannya dengan suami untuk berpindah lokasi premis perniagaan ke Kepala Batas yang berdekatan rumahnya tidak kesampaian berikutan tragedi yang menimpa hari ini.

Cik Nurhaitulnisaq berkata beliau ingin mencari kedai lebih baik dan selesa berbanding kedai mencuci baju sedia ada yang strukturnya diperbuat daripada kayu.

Kebakaran itu menyebabkan semua baju pelanggan yang dihantar ke kedainya hangus terbakar selain lima buah mesin basuh dan sebuah mesin pengering juga musnah, tambah Cik Nurhaitulnisaq.

Beliau turut menganggarkan kerugian lebih RM80,000 (S$25,895).

“Baru semalam saya dan suami berbincang kalau boleh nak cari kedai yang dekat dengan kawasan perumahan, namun, tidak sangka hari ini jadi macam ini (kebakaran),” katanya kepada pihak Astro AWANI.

Kejadian itu turut menyebabkan kedai lampin musnah dijilat api.

Pemiliknya, Ibrahim Ismail, berkata ketika kejadian, beliau berada di rumahnya dan terkejut dimaklumkan jirannya bahawa kedai miliknya terbakar.

Sebaik sampai di lokasi, Encik Ibrahim ternampak api sudah marak dan kedainya sudah terbakar.

“Tidak ada apa yang selamat, (stok) lampin baru saya tambah, semuanya habis (musnah)… anggaran kerugian lebih RM10,000 (S$3,238),” ujarnya.

Sementara itu, dalam kejadian itu juga, Ismail Ibrahim, seorang penghuni, melecur di lengan kanan ketika hendak menyelamatkan isterinya dan mengambil barangan rumah.

Menurut Encik Ismail, beliau cuba memasuki rumahnya dengan menyuluh lampu untuk mengambil pakaian akibat bekalan elektrik yang terputus.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Naufal Abdullah berkata kepada AstroAWANI, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 8.22 pagi.

Sejurus selepas panggilan diterima, sepasukan anggota dari BBP Alor Setar dan dibantu pasukan dari BBP Jalan Raja tiba di lokasi pada jam 8.30 pagi. Ia berjaya mengawal api daripada merebak ke beberapa kedai berhampiran pada jam 8.43 pagi.

Tiada yang terkorban dan hanya seorang penghuni rumah melecur di lengan kanan dan segera diberi rawatan oleh anggota penyelamat dari Unit EMRS.

"Lima deretan rumah kedai kelas B, iaitu separa kayu dan batu setingkat dilaporkan terbakar dalam kejadian ini. Punca dan kerugian masih dalam siasatan," kata Encik Ahmad Naufal, ditukil Astro AWANI.  

Sumber : Agensi berita/NY/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa