3 Jun tarikh dengar permohonan pendakwa gantung perintah kembalikan harta disita milik Najib
Bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak. (Gambar fail: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Malaysia hari ini (17 Feb) menetapkan 3 Jun untuk mendengar permohonan pihak pendakwaan bagi menggantung pelaksanaan perintah pemulangan harta yang disita daripada bekas Perdana Menteri Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor, anak mereka dan beberapa individu lain.
Pada 8 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan barangan termasuk beg tangan pelbagai jenama, 27 kenderaan dan wang tunai pelbagai mata wang yang disita daripada mereka yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia, lapor Astro Awani.
Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin berkata permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.
Mengenai rayuan pendakwaan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu, Faten Hadni berkata ia di peringkat pengurusan kes kerana pihak pendakwaan masih menunggu rekod rayuan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Catherine Nicholas.
Menurut Astro Awani, pendakwaan selaku pemohon memfailkan permohonan penangguhan itu pada 24 November lalu, dengan menamakan Najib, Rosmah, Riza Shahriz Abdul Aziz (anak Rosmah), anak mereka Nor Ashman Razak, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Goh Gaik Ewe, Roger Ng Chong Hwa (bekas pegawai bank Goldman Sachs) dan isteri Lim Hwee Bin sebagai responden pertama hingga kesembilan.
Pada 8 November 2021, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak harta-harta itu kepada kerajaan dan permohonan penangguhan itu dibuat sementara menunggu rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.
Dalam keputusan sama, Hakim Mohamed Zaini bagaimanapun membenarkan permohonan kerajaan untuk melucut hak aset daripada lapan responden lain kerana mereka tidak membantah permohonan tersebut iaitu Mohd Kyizzad Mesran, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn Bhd dan tiga bekas pegawai 1MDB yang sudah melarikan diri, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun, lapor Astro Awani.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.