3 individu termakan umpan tukaran mata wang tinggi ditumbuk, disamun lebih AS$100,000
Tiga individu yang ingin membuat urusan pertukaran wang asing bukan sahaja cedera ditumbuk malah duit berjumlah AS$101,500 (S$140,787) turut lesap disamun tiga lelaki yang dipercayai warga Afrika di Taman Ampang Jaya, Kuala Lumpur.
(Gambar: AFP)
KUALA LUMPUR: Tiga individu yang ingin membuat urusan pertukaran wang asing bukan sahaja cedera ditumbuk malah duit berjumlah AS$101,500 (S$140,787) turut lesap disamun tiga lelaki yang dipercayai warga Afrika di Taman Ampang Jaya, Kuala Lumpur.
Dalam kejadian pada jam 3.09 petang Sabtu (24 Ogos) itu, tiga individu termasuk seorang wanita berusia antara 48 hingga 58 tahun itu ditawarkan tukaran mata wang dolar Amerika kepada Ringgit Malaysia dengan harga RM6 bagi AS$1.
“Pada awalnya, mangsa telah keluarkan wang dan menukarnya ke dolar Amerika untuk membuat pembayaran urusan perniagaan namun, mereka didatangi seorang wanita yang menawarkan untuk menukar duit itu ke Ringgit Malaysia dengan harga yang tinggi,” ujar seorang jurucakap polis.
Tertarik dengan tawaran itu, mereka menaiki kereta Nissan Teana bersama wanita berkenaan untuk ke pejabatnya bagi urusan tukaran wang tersebut.
“Malangnya, sampai ke lokasi kejadian, wanita itu memberhentikan kereta dan mereka didatangi tiga suspek warga asing menaiki sebuah kereta jenis Nissan Sentra dan merampas beg sandang mengandungi duit yang ingin ditukar itu,” kata jurucakap tersebut.
Beliau menambah berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek sebelum mangsa ditolak dan ditumbuk tiga lelaki terbabit. Kesemua suspek kemudian melarikan diri bersama wanita yang menawarkan urusan pertukaran mata wang asing itu menggunakan kereta Nissan Sentra.
Selain wang tunai, pelbagai dokumen penting turut disimpan dalam beg yang dilarikan tiga lelaki berkenaan.
Jurucakap itu berkata semakan polis mendapati kedua-dua kereta yang digunakan dalam kejadian itu adalah kereta klon dan Nissan Sentra itu pula menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.