Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

3 graduan yatim piatu buru ilmu hingga ke menara gading

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Ketiadaan ibu bapa tercinta di sisi untuk menemani perjalanan akademik, tidak menjadi alasan bagi tiga graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) mendaki menara gading apabila berjaya menggenggam ijazah dalam bidang sains pada Majlis Konvokesyen UPM ke-47 Sidang 2 Tahun 2023 pada Selasa (28 Nov).

Graduan Sarjana Muda Sains Akuakultur dengan Kepujian Fatin Fadhlina Mat Desa, 25 tahun, yang kehilangan ibunya Ramelah Said akibat barah usus pada tahun lepas, mengakui situasi itu meninggalkan kesan pada dirinya.

Namun dia terus cekal dalam menghadapi dugaan demi menunaikan hasrat ibunya untuk dia mendapatkan segulung ijazah. 

“Pada mulanya, saya tidak dapat menerima kehilangan ibu kerana dia adalah antara pemangkin semangat saya untuk meneruskan pengajian dan keinginan arwah ibu untuk melihat seorang daripada anaknya memperolehi ijazah,” katanya yang turut kehilangan bapa ketika masih bersekolah rendah. 

Mengenai program pengajiannya, graduan Fakulti Pertanian UPM itu berkata bidang berkenaan mampu memberikan manfaat dalam industri maritim bagi memenuhi keperluan sektor pertanian masa kini. 

Graduan Sarjana Muda Sains Biologi dengan Kepujian Noor Farah Adilah Mat Yusof, 23 tahun, yang diuji dengan kehilangan ibu bapa pada tahun yang sama turut berkongsi kepayahan yang dialami khususnya melibatkan kewangan. 

Namun, dengan kecekalan dan bantuan keluarga terdekat ternyata cabaran berkenaan hanyalah rintangan sementara. 

"Arwah ibu meninggal akibat barah paru-paru pada awal 2018 dan kemudiannya arwah ayah meninggal dunia secara tiba-tiba pada pertengahan 2018, kehilangan mereka telah memberi kesan kepada diri saya. 

“Pada awal semester, saya mengalami kesusahan dari segi kewangan untuk membayar yuran pengajian, namun saya bersyukur ibu bapa saudara banyak membantu menyalurkan bantuan kewangan hingga semester kedua saya berjaya mendapat biasiswa daripada Kuok Foundation Berhad,” katanya. 

Sementara itu, graduan Sarjana Muda Sains Statistik dengan Kepujian Nurul Islam Abdullah, 23 tahun, tidak pernah terfikir untuk berputus asas walaupun kehilangan kedua ibu bapanya ketika masih kecil, kerana ingin membuktikan bahawa statusnya sebagai anak yatim piatu tidak menjadi penghalang buatnya mencapai kejayaan dalam mengejar ilmu.

“Saya kehilangan ibu Sarimah Zakaria akibat sakit buah pinggang ketika berusia tiga tahun dan ayah Abdullah Ahmad Nasruddin meninggal dunia akibat angin ahmar ketika berumur lapan tahun, namun saya bersyukur kedua-dua kakak menjaga saya walaupun mereka ketika itu tidak mempunyai kerja tetap.

“Antara perkara yang saya akan ingat sampai akhir hayat ialah pengorbanan kakak ketika dia mendapat tawaran sambung belajar dan menggunakan duit pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menanggung saya,” katanya. 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan