3 ditahan kes samun bersenjata, tembakan rambang di Johor Bahru
Tiga ditahan polis pada Isnin (16 Sep) dan awal pagi ini, dipercayai terbabit dengan kejadian samun menggunakan senjata api dan tembakan secara rambang di sebuah rumah di Jalan Tun Fatimah 2, Kangkar Tebrau, dekat sini, Jumaat lalu (13 Sept).
Gambar fail logo Polis Diraja Malaysia. (Gambar: AFP/Saeed Khan)
JOHOR BAHRU: Tiga ditahan polis pada Isnin (16 Sep) dan awal pagi ini, dipercayai terbabit dengan kejadian samun menggunakan senjata api dan tembakan secara rambang di sebuah rumah di Jalan Tun Fatimah 2, Kangkar Tebrau, dekat sini, Jumaat lalu (13 Sept).
Ketua Polis Johor Encik Mohd Kamarudin Md Din berkata dua suspek lelaki yang diberkas dipercayai melepaskan tembakan rambang sehingga menyebabkan kematian seorang warga emas berusia 75 tahun dan mencederakan seorang remaja berusia 17 tahun.
Beliau berkata seorang wanita turut ditahan, dipercayai teman wanita kepada salah seorang lelaki yang ditahan itu.
"Semalam, pada kira-kira pukul 12.00 tengah malam, pegawai dan anggota JSJ (Jabatan Siasatan Jenayah) sudah berjaya mengesan kenderaan yang dinaiki tiga suspek di kawasan Pasir Gudang.
"Ketika polis menghampiri kereta suspek, suspek bertindak ganas dengan menghimpit dan melanggar kereta polis menyebabkan pihak polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta suspek menyebabkan kereta mereka terbabas," katanya kepada pemberita di sidang media di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, hari ini (17 Sep).
Encik Mohd Kamarudin berkata sejurus itu, salah seorang suspek (lelaki) kemudian bertindak mengacukan senjata api ke arah polis hingga menyebabkan pihak polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri dan tembakan berkenaan terkena kaki kedua-dua suspek lelaki tersebut.
Bagaimanapun, hanya seorang suspek lelaki dan wanita ditahan, manakala seorang lagi berjaya melepaskan diri.
Encik Mohd Kamaruddin berkata kesemua suspek warga tempatan itu berusia antara 22 hingga 37 tahun.
"Turut dirampas sepucuk pistol, sebutir peluru hidup dan sebuah kereta jenis Myvi dipercayai hasil samun," kata beliau.
Sementara itu, suspek lelaki yang melarikan diri, kemudiannya berjaya ditahan awal pagi ini di sebuah rumah di kawasan Plentong, dalam tempoh 24 jam.
Encik Mohd Kamarudin juga berkata kedua-dua suspek lelaki turut dipercayai terlibat dalam kes menyamun seorang lelaki di mesin ATM di sebuah bank di Taman Molek kira-kira jam 7.45 pagi Sabtu lalu (14 Sept) selain turut melarikan kereta Perodua Myvi milik mangsa dan wang tunai RM150 (S$50).
"Semakan rekod jenayah ke atas tiga suspek mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah samun, pecah rumah dan dadah selain salah seorang dari suspek turut disenarai sebagai 'dikehendaki/wanted' bagi kes samun di Seri Alam pada 2007.
"Sementara itu, ujian air kencing ke atas ketiga-tiga mereka juga adalah positif dadah jenis Methaphetamine," katanya lagi.
Encik Mohd Kamarudin juga berkata pihaknya juga sedang menyiasat bagaimana suspek mendapat akses kepada senjata api berkenaan.
Kesemua suspek akan diminta reman hari ini.
Kes disiasat mengikut Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 3 dan 4 Akta Senjata Api 1960.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.