Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

3 dilapor cedera akibat letupan di Nashville

Bandar Nashville di Amerika Syarikat (AS) digegarkan dengan satu letupan yang sangat kuat pada awal pagi Jumaat (25 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
3 dilapor cedera akibat letupan di Nashville

(Gambar: EPA)

Diterbitkan : 26 Dec 2020 12:44PM Dikemas Kini : 26 Dec 2020 12:51PM

WASHINGTON: Bandar Nashville di Amerika Syarikat (AS) digegarkan dengan satu letupan yang sangat kuat pada awal pagi Jumaat (25 Dis).

Menurut laporan media tempatan, bahan letupan mungkin dipasang pada sebuah kenderaan.

Letupan yang sangat kuat itu memusnahkan tingkap bangunan dan pokok-pokok, di samping mencederakan beberapa orang yang berada berdekatan semasa bahan letupan itu diledakkan sekitar 6.30 pagi (waktu tempatan).

Tiada kematian dilaporkan sejauh ini.

Sungguhpun demikian, Ketua Polis John Drake memberitahu para wartawan bahawa pihak berkuasa sedang menyiasat tisu yang dijumpai di tempat kejadian yang dipercayai adalah cebisan jasad manusia.

Sebelum letupan itu berlaku, pihak polis menerima aduan mengenai bunyi tembakan dan melihat kenderaan berkenaan di bandar tersebut.

Satu mesej yang dirakam dan dimainkan dengan kuat daripada kenderaan itu memberi amaran bahawa bom akan diletupkan dalam tempoh 15 minit, memberi masa kepada pasukan pemusnah bom untuk mengosongkan kawasan sebelum letupan berlaku, kata Ketua Polis Nashville, John Drake dan jurucakap polis, Don Aaron, kepada para wartawan.

Para saksi memberitahu akhbar Tennessean bahawa amaran itu disampaikan melalui rakaman yang menggunakan suara seorang wanita, yang mengira detik sebelum letupan berlaku.

"Selamatkan diri anda sekarang. Ada bom dalam kenderaan ini yang akan diletupkan," kata seorang saksi semasa menceritakan mengenai mesej itu.

Gambar-gambar yang tersebar di media sosial selepas insiden itu menunjukkan kepulan asap hitam daripada kenderaan yang meletup dan terbakar itu, serta bahagian hadapan kedai-kedai yang musnah.

Letupan itu berlaku berhampiran kemudahan AT&T dan menurut syarikat itu, khidmat di Nashville dan kawasan sekitarnya mungkin terganggu akibat kerosakan yang disebabkan oleh letupan itu.

Lapangan Terbang Antarabangsa Nashville turut menggantung sesetengah penerbangan atas 'isu telekomunikasi' yang dikaitkan dengan letupan tersebut.

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan