3 daripada 5 rakyat Amerika mahu kawal selia lebih ketat ke atas syarikat media sosial: Tinjauan
Aplikasi Instagram, TikTok, Snapchat, YouTube, Facebook, Twitch dan Reddit dipaparkan pada sebuah telefon bimbit dalam ilustrasi ini pada 9 Disember 2025. (Gambar: REUTERS/Hollie Adams)
- Tinjauan Reuters/Ipsos mendapati majoriti rakyat Amerika menyokong kawal selia lebih ketat terhadap syarikat media sosial, termasuk penggunaan alat pengesahan usia untuk melindungi kanak-kanak.
- Sokongan merentasi parti politik, dengan penyokong Parti Republican dan Democrat menunjukkan peratusan tinggi, manakala pengundi bebas lebih ragu-ragu.
- Syarikat seperti Meta dan YouTube kini berdepan tekanan undang-undang, termasuk perbicaraan dan arahan mahkamah untuk membayar denda serta mengubah operasi mereka bagi pengguna muda.
- Walaupun ramai bimbang tentang ketagihan dan kesihatan mental kanak-kanak, rakyat Amerika masih menganggap media sosial menyeronokkan, namun berbelah bahagi tentang masa yang dihabiskan di platform tersebut.
Demikian menurut tinjauan Reuters/Ipsos yang dijalankan selama enam hari sehingga 3 Ogos.
Tinjauan itu mendapati 61 peratus responden berpendapat syarikat media sosial memerlukan pengawasan lebih ketat.
Sokongan itu merentasi fahaman politik, dengan 71 peratus penyokong Parti Democrat dan 62 peratus penyokong Parti Republican menyokong pengawasan lebih ketat.
Sokongan dalam kalangan pengundi bebas lebih rendah, dengan ramai daripada mereka tidak pasti mengenai pendirian masing-masing.
Tinjauan itu turut mendapati 66 peratus responden menyokong undang-undang yang mewajibkan syarikat media sosial menggunakan alat pengesahan usia bagi menghalang kanak-kanak di bawah usia 16 tahun daripada mengakses platform mereka.
Sokongan paling tinggi dicatatkan dalam kalangan penyokong Parti Republican, iaitu 74 peratus, berbanding 69 peratus dalam kalangan penyokong Parti Democrat.
TEKANAN TERHADAP SYARIKAT TEKNOLOGI MENINGKAT
Tinjauan itu dijalankan ketika syarikat seperti Meta Platforms dan YouTube milik Google berdepan tekanan undang-undang yang semakin meningkat berhubung layanan terhadap pengguna muda.
Satu perbicaraan dijangka bermula pada Rabu (12 Ogos) berhubung dakwaan pendakwa raya wilayah bahawa Meta mereka bentuk produknya untuk menyebabkan pengguna muda ketagih.
Meta menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan ia mungkin berdepan penalti sehingga AS$1.4 trilion (S$1.79 trilion) sekiranya pihak wilayah memenangi kes tersebut.
Secara berasingan, sebuah mahkamah wilayah New Mexico pada Khamis (6 Ogos) mengarahkan Meta membayar AS$567 juta (S$724 juta) ke dalam dana kesihatan mental remaja dan mengubah cara platformnya berfungsi untuk pengguna muda.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati syarikat tersebut bertanggungjawab menjejas kesejahteraan kanak-kanak.
Lebih sepuluh wilayah di Amerika sudah meluluskan undang-undang yang mengawal akses golongan bawah umur kepada media sosial bagi meningkatkan keselamatan mereka secara online.
Namun, NetChoice, sebuah kumpulan perdagangan yang disokong syarikat media sosial termasuk Meta, TikTok dan Snap, mengambil tindakan undang-undang untuk menghalang undang-undang yang mewajibkan aplikasi mengesahkan usia pengguna.
Kumpulan itu berhujah bahawa undang-undang sedemikian melanggar perlindungan kebebasan bersuara.
85% ANGGAP MEDIA SOSIAL BOLEH MENYEBABKAN KETAGIHAN
Tinjauan Reuters/Ipsos turut mendapati 85 peratus rakyat Amerika berpendapat media sosial boleh menyebabkan ketagihan dalam kalangan kanak-kanak.
Peratusan yang hampir sama berpendapat penggunaan media sosial boleh menjejas kesihatan mental mereka.
Kongres Amerika setakat ini belum meluluskan undang-undang yang bertujuan melindungi kanak-kanak di media sosial.
Namun, responden yang ditemu bual Reuters menyuarakan kebimbangan mengenai pengaruh syarikat media sosial terhadap golongan muda dan keupayaan kanak-kanak mengatasi sekatan yang ditetapkan ibu bapa.
RAKYAT AMERIKA MASIH GEMAR MEDIA SOSIAL
Meskipun terdapat kebimbangan tersebut, 70 peratus rakyat Amerika menyatakan masa yang diluangkan di media sosial menyeronokkan, manakala hanya 35 peratus berkata ia menyebabkan mereka tertekan.
Pandangan lebih berbelah bahagi mengenai jumlah masa yang diluangkan di platform tersebut.
52 peratus berkata mereka menghabiskan terlalu banyak masa di media sosial setiap hari, manakala 43 peratus tidak berpendapat sedemikian.
Tinjauan Reuters/Ipsos itu dijalankan secara online melibatkan 4,505 orang dewasa di Amerika.
Ia mempunyai jidar kesilapan dua peratusan mata.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.