Skip to main content

Dunia

3 calon presiden ikrar pertingkat kesihatan, kesejahteraan rakyat Indonesia dalam debat terakhir

Anggaran Waktu Membaca:
3 calon presiden ikrar pertingkat kesihatan, kesejahteraan rakyat Indonesia dalam debat terakhir

Calon Presiden Indonesia Anies Baswedan (kiri), Prabowo Subianto dan Ganjar Pranowo bersemuka dalam debat kelima dan terakhir sebelum rakyat Indonesia keluar mengundi pada 14 Feb 2024. (Gambar: CNA/Danang Wisanggeni)

Diterbitkan : 04 Feb 2024 11:09PM Dikemas Kini : 04 Feb 2024 11:10PM
JAKARTA: Hanya tinggal sepuluh hari sebelum rakyat Indonesia keluar mengundi bagi memilih presiden negara demokrasi ketiga terbesar di dunia. Tiga calon presiden berdepan satu sama lain untuk kali terakhir dalam debat yang disiarkan secara langsung pada Ahad (4 Feb) sedang mereka menyatakan janji dan ikrar masing-masing untuk memperbaiki tahap kesihatan dan kebajikan para pengundi.

Seperti empat debat yang diadakan sebelum ini, setiap calon diberikan beberapa minit sahaja untuk membentangkan wawasan dan idea mereka, disusuli dengan satu segmen di mana mereka menjawab pertanyaan para pakar dan kemudian dibenarkan mengajukan pertanyaan kepada pesaing masing-masing.

Menteri Pertahanan yang juga calon presiden yang sedang mendahului tinjauan pendapat sejauh ini, Prabowo Subianto adalah yang pertama untuk berucap tentang isu kesihatan, pendidikan, kebajikan sosial, budaya, pengambilan pekerja dalam bidang teknologi maklumat serta sumber manusia.

Encik Prabowo menegaskan bahawa beliau dan timbalannya, Gibran Rakamuning Raka bertekad mahu memperbaiki kehidupan rakyat Indonesia dengan menyediakan makanan berkhasiat kepada semua kanak-kanak, termasuk para ibu yang hamil.

"Ini akan berlaku sehingga kanak-kanak menjadi dewasa. Ini akan membendung kadar kematian ibu, ini akan mencegah isu kekurangan zat makanan, pembangunan terbantut dan kemiskinan tegar," jelas calon berusia 72 tahun itu.

Mantan Gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo pula berikrar akan menumpukan usaha kepada kesihatan dengan menggalakkan rakyat bersukan agar dapat mengelak daripada jatuh sakit, di samping memastikan terdapat sekurang-kurangnya satu prasarana kesihatan di setiap kampung dengan seorang pekerja kesihatan.

Beliau turut ingin mewujudkan pendidikan inklusif, yang akan melahirkan pekerja yang berkemahiran.

"Kami juga akan memikirkan tentang guru, pensyarah.. dan wanita serta golongan kurang upaya supaya mereka tidak didiskriminasi dan boleh bekerja," kata Encik Ganjar.

Sementara itu, mantan Gabenor Jakarta Anies Baswedan menarik perhatian bahawa beliau akan memastikan tiada ketidaksamaan dan ketidakadilan.

Beliau berkata pada masa ini terdapat ketidaksamaan seperti antara mereka yang menetap di Jakarta berbanding mereka yang tinggal di luar ibu kota negara itu, serta antara yang kaya dan yang miskin.

"Kami mahukan perubahan. Kami mahu rakyat yang sihat, rakyat yang membesar dengan pendidikan yang cemerlang," kata Encik Anies, 54 tahun. "Kami tidak mahu ketidaksamaan."

Pilihan raya akan datang, merupakan yang pertama dalam 15 tahun di mana ketiga-tiga pasangan calon presiden dan naib presiden akan bersaing untuk menjadi pemimpin Indonesia seterusnya.

Calon-calon presiden itu, diiringi oleh timbalan masing-masing, yang tidak dibenarkan berucap kerana debat pertama, ketiga dan terakhir ini hanya dikhususkan untuk calon presiden.

Calon-calon naib presiden berpeluang membentangkan visi dan misi mereka sebelum ini dalam debat kedua dan keempat.

Encik Anies Baswedan bertanding bersama timbalannya Muhaimin Iskandar, 57 tahun, pengerusi Partai Kebangkitan Bangsa (PKB).

Encik Prabowo pula berganding bahu dengan Encik Gibran, 36 tahun, yang merupakan Datuk Bandar Solo dan anak sulung Presiden Joko Widodo, yang juga dikenali sebagai Jokowi.

Sementara itu, timbalan Encik Ganjar ialah Mahfud MD, 66 tahun, yang telah meletak jawatan sebagai Menteri Penyelaras Bidang Politik, Hukum dan Keamanan Indonesia pada 1 Feb lalu.

Kira-kira 204.8 juta pengundi layak untuk keluar mengundi pada 14 Feb untuk memilih presiden kelapan mereka.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita