3 bom meletup di Selatan Thailand, 4 orang cedera
Sekurang-kurangnya empat orang penduduk cedera apabila tiga bom meletup serentak di beberapa kawasan Sungai Golok di wilayah Narathiwat.
NARATHIWAT: Sekurang-kurangnya empat orang penduduk cedera apabila tiga bom meletup serentak di beberapa kawasan Sungai Golok di wilayah Narathiwat.
Kapten Traipop Donprai-laorong dari Balai Polis Sungai Golok, berkata kejadian berlaku kira-kira 6.00 petang Isnin waktu tempatan (9 Apr).
"Motif serangan bom kali ini dipercayai untuk mensabotaj Pesta Makanan Tahunan Sungai Golok yang berlangsung mulai Sabtu lepas sehingga Rabu ini," katanya kepada pemberita semalam.
Beliau berkata bom pertama meletup di hadapan sebuah kuil di Jalan Pracharat manakala bom kedua di belakang Hotel Plaza, dan bom ketiga pula di Lorong Raman yang terletak di bandar sempadan itu.
Kejadian letupan bom itu menyebabkan suasana panik dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong asing di bandar berkenaan.
Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan di daerah Yaring, Pattani, seorang sukarelawan keselamatan tempatan cedera parah apabila sebutir bom meletup ketika beliau menghidupkan keretanya.
Kapten Khajornsak Kuamanee dari Balai Polis Yaring, berkata kejadian di Kampung Tanjung Dalor berlaku kira-kira 3.00 petang semalam (waktu tempatan) mencederakan Ismail Chetae, 36 tahun.
"Letupan kuat berlaku apabila mangsa cuba menghidupkan enjin keretanya. Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan seluruh badan akibat terkena serpihan bom," katanya.
Mangsa kini dirawat di unit kecemasan Hospital Pattani.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.