3 bilion haiwan terjejas dek kebakaran belukar Australia
Hampir 3 bilion koala, kanggaru dan haiwan asli Australia yang lain terbunuh atau kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran belukar pada 2019 dan 2020, menurut kajian oleh World Wide Fund for Nature (WWF) pada Selasa (28 Jul), dua kali ganda lebih tinggi daripada unjuran lalu.
Kebakaran hutan di Sydney, Australia. (Gambar: Reuters)
SYDNEY: Hampir 3 bilion koala, kanggaru dan haiwan asli Australia yang lain terbunuh atau kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran belukar pada 2019 dan 2020, menurut kajian oleh World Wide Fund for Nature (WWF) pada Selasa (28 Jul), dua kali ganda lebih tinggi daripada unjuran lalu.
Sekitar 143 juta mamalia, 2.46 bilion reptilia, 180 juta burung dan 51 juta katak terjejas oleh kebakaran belukar yang paling dahsyat di negara itu sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu, menurut WWF.
Ketika kebakaran masih marak, WWF menganggarkan jumlah haiwan yang terjejas adalah 1.25 bilion. Kebakaran itu memusnahkan lebih 11 juta hektar (37 juta ekar) tanah di bahagian tenggara Australia, dengan saiz itu serupa dengan separuh kawasan United Kingdom.
"Ia dianggap sebagai salah satu bencana hidupan liar yang paling dahsyat dalam sejarah moden," kata ketua pegawai eksekutif WWF-Australia Dermot O'Gorman dalam kenyataannya.
Peneraju projek Lily Van Eeden dari Universiti Sydney berkata bahawa kajian itu adalah analisis pertama yang dijalankan ke atas benua tersebut berhubung haiwan yang terjejas oleh kebakaran belukar dan "negara-negara lain boleh menggunakan kajian itu untuk meningkatkan pemahaman tentang kesan kebakaran di mana-mana sahaja".
Jumlah itu termasuk haiwan yang kehilangan tempat tinggal akibat habitat yang musnah dan sekarang berdepan dengan kekurangan makanan dan tempat tinggal atau prospek berhijrah ke habitat yang sudah dihuni oleh haiwan lain atau didiami manusia.
Punca utama di sebalik keputusan untuk meningkatkan jumlah haiwan yang mati adalah para pengkaji kini dapat menilai keseluruhan kawasan yang terjejas dan bukan lagi menumpukan perhatian kepada wilayah-wilayah yang terjejas saja.
Setelah bertahun-tahun kemarau menjadikan kawasan belukar Australia kering sampai ke tahap luar biasa, negara itu menghadapi salah satu musim kebakaran belukar terburuk yang pernah berlaku di negara itu dari September 2019 hingga Mac 2020, mengakibatkan 34 kematian manusia dan hampir 3,000 rumah musnah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.