3 beradik maut: Ibu bapa gegas pulang dari umrah untuk lihat anak buat kali terakhir
Ibu bapa kepada tiga beradik yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Pekan berhampiran Kampung Batu Putih, kembali ke tanah air hari ini (24 Dis) untuk urusan pengebumian anak-anak mereka itu.
Gambar: Facebook
KUANTAN: Ibu bapa kepada tiga beradik yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Pekan berhampiran Kampung Batu Putih, kembali ke tanah air hari ini (24 Dis) untuk urusan pengebumian anak-anak mereka itu.
Seorang daripada saudara mangsa kemalangan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Basir, berkata bahawa berita pemergian tiga beradik itu disampaikan oleh ejen pengurusan umrah yang disertai anggota keluarga mangsa.
IBU BAPA TERIMA BERITA SEMASA TAWAF UMRAH
"Saya difahamkan berita sedih itu diterima ibu dan bapa mangsa semasa mereka sedang melakukan tawaf umrah. Mereka reda dengan pemergian tiga beradik itu.
"Mereka juga membuat keputusan pulang ke Malaysia untuk melihat anak mereka buat kali terakhir," katanya.
Encik Basir berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) semalam (23 Dis).
Pada awal pagi semalam, tiga beradik, Wan Nur Athirah Wan Kamaruzzaman, 27, Wan Nur Afifah, 25, dan Wan Muhammad Mahathir Rafiqi, 14, terkorban selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Cherry Easter yang mereka naiki, terbabas sebelum terhumban ke dalam parit.
Kemalangan pada 5.00 pagi itu juga menyebabkan ibu saudara mereka Salmah Ibrahim, 58, dan anaknya Nurul Aliani Zawawi, 25, cedera di muka dan sedang dirawat di HTAA.
Kejadian berlaku semasa mereka dalam perjalanan pulang ke Kemaman, Terengganu selepas menghantar ibu bapa mereka, Wan Kamaruzzaman Wan Mohamad dan Rosnani Ibrahim serta adik mereka Wan Nur Aqilah ke KLIA untuk mengerjakan umrah pada Khamis lalu (21 Dis).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.