Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

3 beradik dikhuatiri lemas di Terengganu; operasi mencari dan menyelamat dijalankan

Tiga beradik berusia antara lima hingga 10 tahun dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika bermain di Pantai Teluk Lipat, Dungun di Terengganu kira-kira 6.40 petang pada Ahad (30 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
3 beradik dikhuatiri lemas di Terengganu; operasi mencari dan menyelamat dijalankan

Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan bagi mencari tiga beradik yang dikhuatiri lemas di Terengganu. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 31 Dec 2018 10:32AM Dikemas Kini : 31 Dec 2018 10:35AM

KUALA TERENGGANU: Tiga beradik berusia antara lima hingga 10 tahun dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika bermain di Pantai Teluk Lipat, Dungun di Terengganu kira-kira 6.40 petang pada Ahad (30 Dis).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Penguasa Bomba Saifuddin Muhammad, berkata tiga kanak-kanak berkenaan - Nurain Sasabila Zawawi, 5 tahun, Nurain Sufia, 8 tahun, dan Nurain Fatma, 10 tahun - berasal dari Rantau Panjang, Kelantan datang bercuti ke pantai bersama anggota keluarga mereka.

Difahamkan ibu bapa mangsa tidak mengikuti percutian tersebut dan berada di kampung ketika kejadian.

"Maklumat awal menyatakan Nurain Sasabila dan kakaknya, Nurain Sufia dikatakan pergi ke pantai untuk mengambil angin dengan mak saudara mereka.

"Difahamkan ombak terlalu besar dan menarik mangsa ke arah laut. Kakak sulung mereka, Nurain Fatma, cuba untuk menyelamatkan adik-adiknya tetapi turut ditarik ombak dan ketiga-ketiga mangsa terus dihanyutkan ombak ke tengah (laut)," katanya ketika dihubungi agensi berita Bernama.

Encik Saifuddin berkata pihaknya bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada sekitar 7.09 malam tadi bersama 11 anggota bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat bersama agensi keselamatan lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan orang awam.

"Buat masa ini, pihak kami hanya menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan pesisir pantai berikutan cuaca yang gelap dan ombak besar.

"Operasi akan bersambung pada pagi esok (31 Dis) dengan menggunakan khidmat anjing pengesan K9 dan unit selam skuba bagi mencari ketiga-tiga mangsa," katanya.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan