Skip to main content

Dunia

3 anggota Polis Trafik Perak direman kerana minta wang suap dari pelancong Britain

Tiga anggota polis trafik direman tiga hari mulai hari ini (30 Jan) kerana dipercayai meminta RM100 daripada pasangan warga Britain untuk membayar saman trafik di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
IPOH: Tiga anggota polis trafik direman tiga hari mulai hari ini (30 Jan) kerana dipercayai meminta RM100 daripada pasangan warga Britain untuk membayar saman trafik di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands baru-baru ini.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata ketiga-tiga pegawai berusia antara 37 dengan 42 tahun itu adalah daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di ibu pejabat Polis Perak.

"Ketiga-tiganya direman di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan. Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Anti-Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kertas siasatan telah diambil oleh Unit Siasatan Jenayah Terperingkat Bukit Aman dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Awam sebaik sahaja siasatan selesai dijalankan.

"Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman (JIPS) juga akan menjalankan siasatan dalaman. Kami menggesa pasangan itu supaya tampil memberi kerjasama supaya siasatan ini dapat selesai dijalankan dengan pantas," katanya.

Pada 28 Januari lalu, media melaporkan bahawa Bukit Aman sedang menyiasat rakaman video tular di mana seorang anggota polis trafik dipercayai menawarkan untuk menyelesaikan kesalahan memandu laju ke atas sepasang warga Britain dengan bayaran RM100 di tempat kejadian.

Rakaman video selama 51 saat itu merupakan sedutan daripada video selama 30 minit yang dimuat naik ke laman YouTube milik pasangan itu, yang sedang mengembara di seluruh dunia menaiki campervan.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita