Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

3 anak muda ambil inisiatif suntik nafas baru kepada lorong terbiar di Kedah jadi bazar Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:
SUNGAI PETANI: Tiga pemuda mengambil inisiatif “menghidupkan” lorong terbiar dengan mengubahnya menjadi lokasi bazar Ramadan Raya yang dikenali  ‘Basah Tekak’ 2.0 di Jalan Patani di Sungai Petani, Kedah.

Ketiga-tiga mereka Ainol Zulkarnain Zainal Abidin, 39 tahun, Muhammad Daniel Halis, 33 tahun, dan Muhammad Aiman Mohd Tajudin, 25 tahun, berusaha menaik taraf dan mencantikkan lorong tersebut dengan kos kira-kira RM20,000 (S$6,021).

Encik Ainol Zulkarnain berkata idea mengubah lorong terbiar itu kepada tempat kegiatan ekonomi bermula secara kecil-kecilan tahun lalu sebelum pelibatan lebih ramai usahawan muda pada tahun ini dengan terdapat 16 gerai jualan.

“Kali pertama kami mengadakan program ‘Basah Tekak’ ini, kami hanya memanggil beberapa rakan untuk sama-sama berniaga. Sekurang-kurangnya mereka dapat menjana pendapatan dengan berniaga di tempat yang semakin menjadi tumpuan orang ramai ini,” katanya ketika ditemui pemberita.

Tinjauan mendapati dinding di kawasan lorong itu dihiasi lukisan mural yang cantik dan diterangi cahaya lampu sehingga mencetuskan suasana menarik kepada pengunjung untuk singgah di gerai minuman dan makanan, selain pakaian raya serta aksesori wanita yang dijual pada harga berpatutan.

Encik Ainol Zulkarnain berkata pihaknya mendapat kebenaran daripada Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) yang meluluskan permit untuk bazar itu beroperasi di lorong berkenaan.

“Kami berterima kasih kepada pihak MPSPK yang memberikan permit untuk kami menjalankan perniagaan di sini dan diharap terus mendapat sokongan untuk menambah baik operasi perniagaan di lorong ini,” katanya.

Beliau berkata lorong bersebelahan kedai kopinya itu sebelum ini terbiar dan gelap, selain kebersihannya tidak terjaga sekali gus berisiko berlaku kes jenayah seperti ragut dan apabila lorong itu dinaik taraf ia berpotensi menjadi tempat tarikan pelancong.

Sementara itu, seorang pengunjung bazar itu, Muhammad Aiman Roslee, 24 tahun, berkata beliau gemar datang ke situ untuk minum kopi sambil melihat dekorasi lorong yang cantik.

“Lorong ini dulu biasa saja, tetapi mereka buat jadi luar biasa. Setahu saya, belum ada lagi di Kedah yang buat konsep seperti ini, harga jualan barang di sini juga berpatutan. Sesuai untuk seisi keluarga dan golongan muda datang ke sini,” katanya.
Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan